Tempoh bertenang 2 hari sebelum mengundi, cadang j/kuasa reformasi pilihan raya


Noor Azam Shairi

Pada 2014, SPR pernah mengumumkan sedia menimbang untuk memperkenalkan tempoh bertenang selepas tamat kempen pilihan raya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

JAWATANKUASA mengkaji sistem pilihan raya akan mencadangkan dua hari menjelang hari pengundian sebagai tempoh bertenang, yang akan membolehkan pengundi merenung semula pilihan mereka selepas kempen ditutup, kata pengerusinya Ab Rashid Ab Rahman.

Tempoh bertenang adalah waktu dilarang berkempen, lazimnya antara 24 atau 48 jam, yang kini diamalkan dalam perjalanan pilihan raya di banyak negara di serata dunia. Sesetengah negara malah menetapkan tempoh antara lima hingga 15 hari.

Menurut Rashid, tempoh bertenang itu perlu untuk memberi ruang kepada pengundi memikirkan semula pilihan mereka selepas melalui suasana kempen yang biasanya tegang.

“Relaks dululah dua hari, selepas itu keluarlah mengundi,” katanya, dalam satu pertemuan di pejabatnya di Putrajaya, minggu ini.

Menurut Rashid, dalam tempoh bertenang yang dicadangkan itu, selain menghentikan sebarang bentuk kempen melalui apa juga kaedah dan saluran, semua parti politik terlibat perlu menurunkan semua bahan kempen termasuk poster dan kain pemidang.

“Pada hari pengundian sudah tidak ada apa. Orang akan pergi ke pusat pengundian dengan hati terbuka, tinggal pangkah saja,” kata Rashid.

Tempoh bertenang yang dipakai dalam sistem pilihan raya di Malaysia sekarang bermula pada pukul 12 tengah malam, pada malam sebelum pengundian dibuka, sehinggalah pengundian ditutup pada 5 petang.

Pengerusi jawatankuasa mengkaji sistem pilihan raya Ab Rashid Ab Rahman berkata dua hari menjelang hari mengundi dicadangkan sebagai tempoh bertenang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Disember, 2019.

Bagaimanapun lazim juga berlaku, petugas parti malah pemimpin parti gagal menghormati peraturan larangan kempen pada hari pengundian, termasuk seperti yang berlaku dalam beberapa pilihan raya kecil tahun ini.

Berkempen pada hari pengundian, yang juga hari larangan kempen, adalah satu kesalahan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang membawa hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak lebih RM5,000.

Pada 2014, SPR pernah mengumumkan sedia menimbang untuk memperkenalkan tempoh bertenang selepas tamat kempen pilihan raya.

Cadangan itu disuarakan selepas ia melihat keberkesanannya mendisiplinkan penyokong dan parti politik semasa pilihan raya presiden Indonesia. Republik itu melaksanakan tempoh bertenang tiga hari sebelum hari mengundi.

“Kita akan cadangkan, dan terpulang kepada kerajaan untuk membuat pindaan undang-undang atau peraturan,” jelas Rashid, yang juga pernah mempengerusikan SPR antara 2000 dan 2008.

Rashid bagaimanapun mengingatkan tidak semua cadangan jawatankuasa itu nanti boleh kerajaan laksanakan dengan serta merta.

Beliau memberikan contoh bagaimana pembaharuan pilihan raya mengambil masa lebih 12 tahun untuk dilaksanakan di New Zealand sementara di Indonesia, hampir 20 tahun.

“Ada yang memerlukan peruntukan kewangan, ada yang memerlukan masa.

“Cuma kita harap, kerajaan terima dulu (cadangan) dan kemudian pelaksanaannya boleh dibuat berperingkat,” katanya.

Dalam konteks itu, Rashid berpendapat laporan akhir yang akan disiapkan dalam masa berbaki lapan bulan dan dijadual diserahkan kepada kerajaan pada Ogos 2020 nanti akan didedahkan kepada umum.

“Laporan macam ini umum kena tahulah.

“Secara peribadi saya rasa ia patut didedahkan supaya umum tahu apa kelemahan kita dan apa yang kita hendak buat untuk tutup kelemahan itu,” katanya.

Beliau juga setuju pendedahan kepada umum boleh menjadi asas semak dan imbang kepada kerajaan untuk rakyat meneliti sejauh mana cadangan jawatankuasa dilaksanakan.

“Tetapi ini saya kena bincang dengan kerajaan dulu,” katanya. – 21 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen