90% rakyat mahu pertingkat kemahiran kerja untuk kekal relevan


Aminah Farid

Sebanyak 78% majoriti responden jangka syarikat memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Disember, 2020.

DALAM pasaran pekerjaan yang semakin tidak menentu, 90% pekerja di Malaysia merasakan pentingnya untuk mempertingkatkan kemahiran untuk terus relevan dalam dunia pasca pandemik, menurut hasil kajian Sentimen Pengguna Asean UOB.

Pengarah eksekutif dan ketua sumber manusia UOB Malaysia Lai Tak Ming berkata, pandangan sebegitu muncul di tengah jangkaan kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan baharu kerana kemerosotan ekonomi.

Beliau berkata kajian itu mendapati 85 peratus responden di Malaysia percaya bahawa syarikat lebih suka menggaji orang yang dapat melakukan banyak fungsi, sementara 83% berpendapat majikan akan mengurangkan jumlah pekerja dengan meningkatkan usaha pendigitalan mereka.

Sementara itu, 78% majoriti responden menjangkakan syarikat akan memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos.

Kajian menunjukkan di antara kumpulan umur yang berbeza, kerisauan tentang jaminan kerja sangat dirasai oleh Generasi Z, mereka yang berumur antara 18 dan 23 tahun.

“94 peratus responden dalam lingkungan usia ini juga percaya bahawa majikan akan memberhentikan pekerja untuk mengurangkan kos jika diperlukan,” kata Lai.

Katanya, sentimen itu disuarakan oleh Generasi X (berumur antara 40 dan 55 tahun) dan Generasi Y (berumur antara 24 hingga 39 tahun) masing-masing pada 77% dan 76%.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar pengangguran negara meningkat 0.1% bulan ke bulan kepada 4.7% pada Oktober 2020.

Ketua statistik Dr Mohd Uzir Mahidin berkata tenaga kerja meningkat kadar perlahan pada Oktober disebabkan peningkatan pekerjaan dan pengangguran. – 28 Disember, 2020.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen