Putrajaya perlu beri data sebenar kadar pengangguran, kata Anwar


Aminah Farid

Anwar Ibrahim meminta kerajaan untuk menyatakan kadar pengangguran dan anggaran jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan sehingga hujung tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Julai, 2020.

PUTRAJAYA perlu memberi penjelasan telus tentang situasi kadar pengangguran di negara ini dan cara untuk mengatasi itu itu, kata Anwar Ibrahim.

Pemimpin pembangkang itu menyentuh tentang keperluan data yang boleh diterima dan menyeluruh sebelum menggubal dasar yang efektif bagi menyelesaikan isu itu.

Anwar turut mengkritik percanggahan data yang diberikan oleh agensi kerajaan seperti Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa.

“Apabila keadaan sebenar pengangguran jelas, kemudian kita boleh wujudkan polisi untuk meningkatkan pelaburan.

“Saya bersetuju tentang keperluan langkah yang lebih ketat ekoran Covid-19 tetapi kita boleh meminta kerajaan negeri dan majlis perbandaran untuk mempercepatkan proses di kawasan yang memerlukan kelulusan,” kata Ahli Parlimen Port Dickson itu.

“Pengangguran saya lihat angka ini tidak realistik, jumlah pengangguran ini tidak mengambil kira mereka yang diberi cuti tanpa gaji, jumlahnya besar,” katanya.
 
Anwar menekankan tentang keperluan untuk kerajaan bertegas dan memberi gambaran jelas tentang kadar pengangguran.

“Sebaliknya, kerajaan ini terlalu bimbang tentang kestabilan politik dan pelantikan GLC. Terlalu banyak politik dalaman. Mereka masih belum membentangkan pelan pakej rangsangan baharu di Parlimen,” katanya.

Semasa sidang Parlimen pada Isnin, Anwar mempersoalkan satu tinjauan yang digunakan untuk merekodkan jumlah pengangguran di Malaysia selepas Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata kadar pengangguran adalah 5.3%.

Beliau menyoal sama ada angka itu realistik berdasarkan tinjauan yang dijalankan menerusi telefon dan bukannya turun ke lapangan.

Anwar juga meminta kerajaan untuk menyatakan kadar pengangguran dan anggaran jumlah mereka yang kehilangan pekerjaan sehingga hujung tahun ini.

Beliau berkata Persekutuan Majikan Malaysia mendakwa kebanyakan syarikat terjejas akibat Covid-19, dan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) menganggar kira-kira 1.4 juga rakyat Malaysia hilang pekerjaan selepas pandemik Covid-19.

Bagaimanapun menurut Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di Malaysia meningkat kepada 5.3% pada Mei 2020 daripada 5% pada April 2020. – 25 Julai, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen