Wakil rakyat jadi pemadan kerja, kaunselor kerjaya ketika pandemik


Angie Tan

Sehingga 22 Oktober, Perkeso melaporkan 89,596 kes pengangguran, purata hampir 10,000 sebulan sejak awal tahun ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 November, 2020.

BEBERAPA Adun DAP bertindak sebagai pihak pemadanan kerja untuk penduduk di kawasan mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19.

Selepas lapan bulan dunia dilanda pandemik itu, wakil rakyat di Johor dan Selangor memberitahu The Malaysian Insight mereka cuba pelbagai cara untuk membantu pengundi di kawasan mereka yang hilang kerja, sama ada menerusi pemadanan kerja, rujukan, program amal atau syarikat baharu.

Adun Stulang  Chen Kah Eng berkata pusat khidmatnya menjadi tumpuan penganggur datang mohon bantuan sejak April.

“Setakat ini, pusat khidmat saya didatangi lebih 100 orang yang hilang kerja, daripada pelbagai  peringkat umur, dari 20 hingga 60 tahun.

“Mereka termasuk juga pekerja warga Vietnam yang dulunya bekerja dengan gaji harian. Mereka menunggu untuk dapat kembali ke Singapura untuk bekerja, dan mahukan pekerjaan sementara di sini,” kata Chen.

Chen berkata beliau ada kenalan dengan beberapa syarikat industri kecil dan sederhana di kawasannya, dan ada sesetengahnya masih mengambil pekerja, walaupun keadaan ekonomi yang teruk pada masa ini.

“Namun, majikan lebih suka pekerja yang stabil dan mahu kekal lama dalam syarikatnya. Jadi agak sukar untuk mencarikan kerja jika mereka mahu bekerja sementara saja sebelum ke Singapura,” katanya.

Bekerja di Singapura membolehkan pekerja memperoleh antara RM8,000 hingga RM9,000 selepas tukaran matawang, tetapi kerja di syarikat tempatan sekarang hanya mampu menawarkan gaji RM2,000.

Chen berkata keadaan juga sukar untuk majikan, yang dulunya dapat menggajikan pekerja warga asing dengan RM2,000 tetapi kini terpaksa menambah gaji untuk menarik pekerja warga tempatan.

Adun Mengkibol Chew Chong Sin berkata maklumat penduduk kawasannya yang menganggur akan digunakan dalam proses pemadanan kerja seperti di kilang, kerja berkebun dan mengecat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 November, 2020.

Katanya, kebanyakan kerja sementara yang diberikan kepada pengundi kawasannya ialah seperti pelayan restoran, pencuci dan pembantu pusat penjagaan wanita selepas bersalin.

“Pandemik ini akan terus menjejaskan perniagaan dan kita jangka pemotongan gaji dan pemberhentian tenaga kerja bakal berterusan berlaku.

“Semua orang perlu meningkatkan kemahiran mereka, kalau tidak memang sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Adun Mengkibol Chew Chong Sin berkata beliau melakukan kaji selidik pengangguran di kawasannya, menyasarkan kepada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, serta penganggur yang dulunya bekerja berniaga di pasar malam, atau pemandu bas sekolah dan bas jarak jauh.

Beliau berkata maklumat daripada kaji selidik itu digunakan dalam proses pemadanan kerja dengan kilang di kawasan itu, dan untuk kerja seperti berkebun dan mengecat.

Chew berkata beliau lebih gemar “mengajar orang tangkap ikan” menerusi syarikat berskala kecil yang termasuk kerja menanam buah dan sayuran, selain pendidikan teknikal dan vokasional kepada individu lebih muda.

Pejabatnya juga sedang membangunkan program perintis dan pekerjaan untuk belia 18 tahun ke atas

“Ia akan mengajar kemahiran untuk bekerja di kafe dan membuat kopi.”

Sehingga 22 Oktober, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melaporkan 89,596 kes pengangguran, purata hampir 10,000 sebulan sejak awal tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso Mohd Azman Aziz Mohammed berkata jumlah itu peningkatan 278% berbanding 2019.

Sektor pembuatan paling teruk terjejas. Semalam, Menteri Sumber Manusia M. Saravanan berkata 21,782 diberhentikan kerja daripada sektor itu sejak Januari.

Di Selangor, Adun Sekinchan Ng Suee Lim sering prihatin dengan kerja kosong dan akan memaklumkan pengundi di kawasannya tentang peluang pekerjaan.

“Menurut exco belia Selangor, Mohd Khairuddin Othman, masih banyak kerja kosong dalam industri pembuatan di negeri ini.

“Saya fikir asalkan anda tidak memilih, anda akan dapat kerja,” kata Ng.

Kawasan Ng termasuk lokasi pelancongan popular Sekinchan, di mana pendapatan daripada industri pelancongan sangat teruk terjejas susulan perintah kawalan pergerakan. – 27 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen