Belanjawan 2021: Utamakan isu pekerjaan, elakkan ketirisan


PADA Jumaat ini kita akan mendengar pembentangan kerajaan berkenaan Belanjawan 2021, yang pada hemat saya merupakan belanjawan hidup dan mati rakyat. 

Pandemik Covid-19 telah memberi impak yang besar kepada rakyat Malaysia, terutamanya pada isu pengangguran.

Walaupun pada September lepas kadar pengangguran dikatakan turun kepada 4.7% pada Julai, pada pandangan saya, data ini tidak memberi gambaran sebenar dengan apa yang berlaku pada pasaran buruh kita.

Setiap hari kita mendengar ramai yang kehilangan pekerjaan – semalam Malindo baru sahaja membuang lebih 2,000 pekerjanya. 

Empat hari lepas, Perkeso mendedahkan mereka menerima laporan 89,596 kes kehilangan pekerjaan pada tahun ini, dengan purata hampir 10,000 kes setiap bulan. Ia adalah peningkatan sebanyak 278% berbanding 2019.

Pertanyaan akan tertumpu pada apa yang akan dilakukan kerajaan untuk menangani krisis ini?

Saya telah menelaah beberapa isu penting yang dikemukakan Pakatan Harapan (PH) dan Umno dalam perjumpaan mereka bersama menteri kewangan semalam. 

Walaupun kedua-dua pasukan ada beberapa cadangan yang baik untuk kemakmuran rakyat, namun perincian berhubung isu pengangguran masih kurang. Barangkali ia akan dibincangkan di Parlimen. 

Titah Yang Di-Pertuan Agong tentang penerimaan Belanjawan 2021 bukanlah bermaksud apa jua yang diusulkan Perikatan Nasional harus diterima bulat-bulat.

Saya melihat ia lebih kepada seruan untuk mengadakan perbincangan yang kritikal tentang belanjawan ini di Parlimen, dan meluluskannya setelah dibincangkan secara kritikal.

Berbalik kepada isu pengangguran, kita sedang berhadapan dengan penganggur sedia ada dan penganggur yang terjejas akibat impak Covid-19. 

Sudah tentu kita berhadapan dengan persoalan – adakah kita akan mengkelaskan kumpulan penganggur ini, atau menggunakan pelan yang sama dalam membantu kedua-dua kumpulan? 

Kedua-duanya harus dibantu dengan segera, terutamanya mereka yang baru hilang pekerjaan akibat Covid-19.

Pertama, para penganggur ini harus segera dibantu untuk dihubungkan dengan Skim Insurans Pekerja (SIP) di bawah Perkeso. Sekurang-kurangnya dalam satu tempoh yang singkat, mereka memiliki sedikit bantuan kewangan. 

Malangnya, masih ramai para pekerja yang tidak mencarum dalam SIP, dan mereka tidak boleh ditinggalkan. 

Perlu ada perancangan yang lebih agresif untuk memastikan semua pekerja didaftarkan di bawah SIP dan bantuan kewangan kepada mereka yang sebelum ini tidak didaftar di bawah SIP.

Walaupun peningkatan pengangguran adalah berita buruk kepada negara, tapi ia adalah peluang untuk kita meningkatkan kemahiran bekalan buruh yang sedang menganggur. 

Kita harus ingat, dengan perkembangan teknologi dan pendigitalan yang berlaku hari ini – ramai tenaga kerja perlu menjalani proses ‘upskilling’. Proses pada skala yang besar ini akan melibatkan kos. 

Oleh itu saya berpandangan skim peningkatan kemahiran dengan elaun upah harus segera diperkenalkan untuk mereka yang sedang menganggur. Sama ada kita suka atau tidak, kita memang akan berbelanja besar untuk program peningkatan kemahiran kelak.

Seterusnya tentang elaun pengangguran yang sepatutnya diperkenalkan di Malaysia. Saya agak terkejut apabila tiada pihak yang berminat untuk berbincang tentang isu ini. Ia bukanlah sesuatu yang langka, dan telah diperkenalkan di beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Kita tidak semestinya meniru bulat-bulat apa yang dilakukan negara-negara maju ini, namun kita harus segera memperkenalkan elaun – dalam bentuk wang atau baucer makanan asas kepada mereka yang kehilangan pekerjaan. 

Apa jua bentuk elaun pengangguran itu nanti – ia harus berkiblatkan semangat tiada toleransi kepada kelaparan.

Elak ketirisan

Setelah kerajaan PH jatuh, mereka kerap meminta diadakan sidang Parlimen penuh untuk mempersoalkan isu-isu berkaitan langkah menangani Covid-19. 

Antara persoalan penting yang mereka tanyakan: dari mana kerajaan mendapat wang untuk bantuan-bantuan Covid-19? 

Isu ini penting untuk diketahui untuk mengelakkan kita bercakap hal yang ‘tiada’. 

Kita bimbang kerajaan mengumumkan nombor yang cantik, tapi pada hakikatnya kita sebenarnya tiada wang untuk mendanai bajet yang diluluskan.

Selain daripada menyatakan sumber pendapatan, kita juga harus bercakap soal ketirisan yang sering berlaku dalam dana kerajaan. 

Bagi mereka sering berurusan dengan mana-mana kementerian atau agensi kerajaan, mereka akan kerap mendengar perkataan – tiada bajet atau kehabisan dana. 

Keadaan ini membawa kepada persoalan – ke mana pergi wang dari dana yang diperuntukkan kalau ketiadaan dana sering menjadi zikir pihak berwajib? 

Sudah tentu rakyat biasa seperti kita akan datang dengan kesimpulan ringkas, korupsi dan ketirisan berlaku. 

Semua ini harus disemak dengan rapi, bukan setakat dilakukan oleh Jabatan Audit Negara sahaja, tapi turut disemak rapi oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dan pihak-pihak lain dengan ketat dan tegas. 

Kita berada pada situasi yang sukar, setiap sen yang dibelanjankan kerajaan harus mempunyai impak kepada rakyat. – 2 November, 2020.

* Rahman Imuda, bekas aktivis mahasiswa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen