Jangan sampai tapisan seni jejaskan KUL Biennale 2020, kata penggiat


Mohd Farhan Darwis Kalidevi Mogan Kumarappa

Pengerusi Galeri Seni Pulau Pinang Lee Khai berkata KUL Biennale 2020 amat penting bagi mengetengahkan karya dan artis tempatan sepatutnya tidak melepaskan peluang menyertainya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Februari, 2020.

EPISOD penapisan terhadap karya seni Ahmad Fuad Osman di Balai Seni Negara minggu lalu tidak harus berulang lagi dalam pameran antarabangsa Biennale Kuala Lumpur (KUL Biennale) 2020 pada September ini, kata karyawan dan pentadbir galeri seni.

Penapisan itu sudah banyak memberi kesan buruk kepada galeri nasional, kata mereka, dan berharap tempiasnya tidak sampai ke KUL Biennale yang akan disertai karyawan Malaysia dan Asia Tenggara.

Kurator Jaafar Ismail berkata beliau tidak pasti bagaimana episod penurunan empat karya Ahmad Fuad akan menjejaskan KUL Biennale nanti, yang sudah mempelawa penyertaan artis dalam dan luar negara.

“Namun saya tidak pasti berapa ramai artis yang akan menerima pelawaan itu. 

“Insiden ini membuktikan wujud ancaman dalam bentuk tapisan ke atas karya seni. Jadi adakah artis yang akan mencabar ancaman itu,” kata pemilik galeri Fergana Art kepada The Malaysian Insight.

Bagaimanapun, Pengerusi Galeri Seni Pulau Pinang Lee Khai menjangka artis tempatan tidak akan memboikot KUL Biennale 2020 disebabkan tapisan ke atas karya Ahmad Fuad.

Katanya pameran antarabangsa itu amat penting bagi mengetengahkan karya mereka dan artis tempatan sepatutnya tidak melepaskan peluang dengan menyertai pameran yang akan berlangsung selama enam bulan.

Pameran antara 1 September 2020 hingga 28 Februari 2021 itu mengangkat tema “Tanah Air (Sa)Udara”.

“Ada suara-suara daripada komuniti seni untuk memboikot Balai Seni, tetapi saya rasa tindakan itu terlalu jauh untuk dilakukan.

“Kita tak perlu buat sehingga ke tahap (boikot), ia tak patut menjejaskan usaha kita untuk ke arah KUL Biennale 2020.

“Itu peluang baik untuk kita tunjukkan kekayaan seni Malaysia. Kita tak patut lepaskan peluang itu,” kata kurator festival Art Penang 2020, yang dijadual berlangsung Jun ini.

Balai Seni Negara menurunkan empat karya Ahmad Fuad ketika pameran yang bermula pada akhir Oktober lalu sudah hampir sampai ke penghujungnya. 

Pameran Akhirnya Seni Pun Tidak Penting itu, yang menghimpunkan hasil seni Ahmad Fuad antara 1990 dan 2019, sebagai tinjauan perkembangan pengkaryaannya, dijadual ditutup pada 29 Februari ini.

Tindakan Balai Seni Negara menyebabkan dua pengumpul karya menuntut agar galeri nasional itu memulangkan karya yang dipinjam untuk pameran tersebut, sementara 55 pengumpul mengugut untuk tidak lagi meminjamkan hasil seni dalam koleksi mereka.

Episod itu selesai apabila Balai Seni Negara menaikkan semula empat karya berkenaan selepas berbincang dengan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohammadin Ketapi. Timbalan beliau Muhammad Bakhtiar Wan Chik sebelum itu juga menulis surat peribadi campur tangan.

Kesemua karya Ahmad Fuad Osman dinaikkan semula oleh Balai Seni Negara pada 16 Februari lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Februari, 2020.

Mengulas perkembangan itu, Lee berkata beliau gembira ahli politik muncul mempertahankan artis.

“Selalunya ahli politik yang nak tapisan dan artis nak kebebasan tetapi dalam kes ini, institusi nasional hendak tapis tetapi ahli politik yang minta tapisan ditarik balik.

“Itu hikmahnya, kita nampak ada pihak yang memperjuangkan seni dalam kementerian,” kata Lee.

Tambahnya, karya Ahmad Fuad itu tidak sepatutnya ditapis kerana apabila kes itu menjadi kontroversi biasanya artis akan menjadi juara, dan pihak yang membuat tapisan akan dilihat tewas.

“Malah kebiasan yang berlaku apabila karya ditapis, artis yang menang.

“Dalam kes ini siapa yang tewas? Balai Seni yang kalah,” katanya.

KUL Biennale 2020 dianjurkan oleh Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, yang juga agensi kerajaan yang mengendalikan Balai Seni Negara. Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad adalah juga pengarah seni KUL Biennale 2020.

“Macam mana buat keputusan?”

Sementara itu, bekas ketua pengarah Balai Seni Negara, Wairah Marzuki mempersoalkan proses membuat keputusan di galeri nasional sehingga karya boleh diturunkan sedemikian rupa.

Katanya, tindakan serupa itu tidak pernah berlaku sebelum ini kerana semua karya ditapis sebelum pameran berlangsung.

“Sepanjang saya bertugas di sana sejak 1972 hingga 2005, kejadian seperti ini tidak pernah berlaku. Saya cuma harap kejadian itu tidak akan menjejaskan KUL Biennale 2020,” katanya.

Amerruddin sebelum ini mempertahankan tindakan Balai Seni Negara dengan alasan karya yang dipamerkan di galeri itu adalah “suatu proses dan bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.”

Beliau juga berkata sebagai galeri yang dibiayai oleh dana awam, Balai Seni Negara perlu beroperasi mengikut norma dan tertib.

Pemilik Galeri Seni Kuala Lumpur, Maizon Omar bagaimanapun berkata, pihak berwajib seharusnya menetapkan batasan tapisan yang mereka tentukan.

Ini kerana, ruang litup tapisan yang terlalu besar tanpa batasan mampu menjejaskan perkembangan kesenian negara, katanya.

“Orang yang berwajib mereka kena fikir berapa luas nak letak tapisan, perlu bertempat. Negara kita baru dari segi sensitiviti seni berbanding negara lain.

“Bagi saya ia satu proses, perlahan-lahan kita kena terima secara berperingkat.

“Ke mana kita nak bawa budaya kita ini, kita kena dengan bijak dan berani, dunia bergerak sangat pantas, kalau kita ada rasa ragu-ragu kita akan ketinggalan,” katanya.

Pemilik Galeri Seni Kuala Lumpur, Maizon Omar berkata pihak berwajib seharusnya menetapkan batasan tapisan yang mereka tentukan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 19 Februari, 2020.

Dalam pada itu, seorang pelukis Norlisham Selamat pula berkata walaupun beliau tidak bersetuju dengan tindak tanduk Balai Seni Negara, beliau tetap akan menyertai KUL Biennale 2020.

Katanya beliau sudah lama menolak bekerjasama dengan Balai Seni Negara melihat tahap profesionalisme galeri itu tidak mencapai piawai seperti negara lain.

“Saya memang dah lama tolak Balai Seni. Mereka ada buat tawaran untuk pameran solo, dua kali… semua saya tolak. Saya tolak tawaran pertama pada 2014 dan yang terbaru pada 2019.

“Mereka tak bekerja seperti sepatutnya. Australia, Singapura kita lihat banyak contoh, tapi apa (Balai Seni) buat? Budaya kerja mereka tak sampai (ke peringkat negara itu).

“Saya anggap itu gagal sejak dulu,” katanya kepada The Malaysian Insight. – 19 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen