Balai Seni Negara belum pasang balik 4 karya Ahmad Fuad


Noor Azam Shairi Zaim Ibrahim

Balai Seni Negara menurunkan empat karya Ahmad Fuad Osman dengan alasan karya yang dipamerkan di galeri itu adalah 'suatu proses dan bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran'. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Februari, 2020.

BALAI Seni Negara hari ini masih belum menaikkan semula empat karya pelukis Ahmad Fuad Osman yang diturunkan dalam pamerannya yang sedang berlangsung di galeri nasional itu biarpun selepas Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menulis surat peribadi meminta agensi itu menimbang untuk berbuat demikian.

Dalam suratnya kepada Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPVSN) Rashidi Hasbullah semalam, Muhammad Bakhtiar Wan Chik meminta pihak Balai Seni Negara menimbang untuk menaikkan semula empat karya itu dan meminta maaf kepada Ahmad Fuad.

Tinjauan The Malaysian Insight di pameran Akhirnya Seni Pun Tidak Penting sehingga Balai Seni Negara ditutup petang tadi mendapati dua bahagian dinding dalam pameran itu masih kosong selepas empat karya berkenaan diturunkan pada 4 Februari lalu.

Pada masa sama, The Malaysian Insight difahamkan pihak pengurusan Balai Seni Negara bermesyuarat hari ini untuk mencari jalan penyelesaian.

Selain mesyuarat lembaga pengarah, pihak pengurusan Balai Seni Negara petang tadi juga difahamkan berunding dengan sekumpulan artis termasuk Ahmad Fuad.

“Hari ini ada mesyuarat lembaga dan selepas itu mesyuarat dengan artis,” kata sumber yang maklum dengan perkembangan isu sejak berita penurunan empat karya Ahmad Fuad heboh awal minggu ini.

Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad yang dihubungi bagaimanapun enggan memberi sebarang komen.

The Malaysian Insight juga masih menunggu maklum balas daripada Fuad sendiri.

Tinjauan The Malaysian Insight di pameran Akhirnya Seni Pun Tidak Penting sehingga Balai Seni Negara ditutup petang tadi mendapati dua bahagian dinding dalam pameran itu masih kosong selepas empat karya berkenaan diturunkan pada 4 Februari lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Februari, 2020.

Pada Isnin lalu, Amerruddin mengesahkan tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya Ahmad Fuad dengan alasan karya yang dipamerkan di galeri itu adalah “suatu proses dan bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran”.

Amerruddin membuat pengesahan itu beberapa jam selepas Ahmad Fuad menulis surat terbuka mendesak Balai Seni Negara telus dengan keputusan menurunkan empat karyanya.

Ahmad Fuad juga mendesak Balai Seni Negara menamatkan serta merta pamerannya kerana merasakan integritinya sebagai karyawan telah dicabul.

Penurunan empat karya Ahmad Fuad mencetuskan tanda tanya kerana dibuat ketika pameran itu sudah diluluskan oleh pihak pengurusan Balai Seni Negara dan sudah berjalan lebih tiga bulan tanpa sebarang aduan yang diketahui.

Pameran tinjauan pertengahan kerjaya Ahmad Fuad, yang menampilkan karyanya antara 1990 dan 2019, bermula pada 28 Oktober tahun lalu. Ia sepatutnya ditutup pada 31 Januari lalu tetapi disambung sehingga 29 Februari ini atas permintaan Balai Seni Negara.

Antara empat karya yang diturunkan Untitled (2012) yang memaparkan poster berupa potret Anwar Ibrahim dengan mata lebam yang digambarkan sebagai lukisan yang hilang. 

Ahmad Fuad Osman mendesak Balai Seni Negara menamatkan serta merta pamerannya kerana merasakan integritinya sebagai karyawan telah dicabul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 Februari, 2020.

Sebuah lagi karya bertajuk Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody yang memaparkan cetak atas cermin potret Anwar, Dr Mahathir Mohamad dan Mohamed Azmin Ali.

Sebuah lagi karya yang diturunkan ialah catan minyak yang dipasang pada dinding sama bertajuk Imitating the Mountain. Lukisan itu menunjukkan seorang lelaki berbaring dalam keadaan telanjang dengan berlatarbelakangkan jajaran gunung.

Karya keempat yang diturunkan ialah instalasi Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik yang menampilkan figura beberapa ekor babi dan anjing yang dengan latar sebuah gunung emas.

Tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya Fuad mendapat bantahan kelompok karyawan yang melihatnya sebagai sekatan kepada kebebasan bersuara, yang juga tidak selaras dengan perubahan sejak pilihan raya umum lalu.

Dua pengumpul seni Bingley Sim dan Pakharuddin Sulaiman turut mendesak Balai Seni Negara memulangkan serta merta karya Ahmad Fuad koleksi mereka yang dipinjam untuk pameran itu.

Dalam suratnya kepada Balai Seni Negara semalam, Bakhtiar mahu perkara yang berbangkit diselesai dengan kata sepakat “demi memastikan reputasi Balai Seni Negara sentiasa terpelihara”.

Beliau menyebut tentang penganjuran pameran KUL Biennale 2020 pada September ini, yang memerlukan sokongan komuniti seni visual.

KUL Biennale adalah pameran berkala yang diselenggara dan dianjurkan oleh LPVSN untuk kali kedua, yang kali ini turut berlangsung sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. – 13 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen