Pamerkan semula karya Ahmad Fuad, kata timbalan menteri kepada Balai Seni Negara


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik turut meminta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara meminta maaf kepada Ahmad Fuad.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2020.

TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik meminta Balai Seni Negara mempamerkan semula empat karya Ahmad Fuad Osman yang diturunkan dari pameran pelukis itu di galeri nasional minggu lalu.

Dalam sepucuk surat kepada pihak Balai Seni Negara, Bakhtiar turut meminta Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPVSN) meminta maaf kepada Ahmad Fuad.

Bakhtiar meminta Pengerusi LPSVN Rashidi Hasbullah supaya “memperhalusi dan mempertimbangkan” dua perkara itu susulan aduan pelbagai pihak mengenai tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya Ahmad Fuad.

“Saya telah menerima aduan pelbagai pihak termasuk Yang Berhormat Ahli-Ahli Parlimen dan masyarakat sivil serta penggiat seni visual Malaysia, yang menyifatkan keputusan LPSVN sebagai langkah kerajaan untuk menyekat kebebasan berekspresi seni kreatif.

“Sehubungan itu, saya ingin menyeru agar pihak Lembaga Pengarah LPSVN dapat memperhalusi perkara ini dan mempertimbangkan semula keputusan tersebut dengan mengambil tindakan seperti berikut:

“Mempamerkan semula keempat-empat karya Ahmad Fuad Osman seperti asalnya, dan mengeluarkan surat permohonan maaf kepada artis berkenaan dengan kadar segera,” kata surat berkenaan, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Bakhtiar juga berharap isu berkenaan dapat diselesaikan dengan kata sepakat “demi memastikan reputasi Balai Seni Negara sentiasa terpelihara”, terutama menjelang penganjuran pameran KUL Biennale 2020 pada September ini, yang memerlukan sokongan komuniti seni visual.

Bakhtiar memberikan maklum balas itu sebagai pandangan peribadinya selepas melawat pameran Ahmad Fuad semalam.

Beliau memberikan tiga alasan kenapa Balai Seni Negara perlu mempertimbangkan semula tindakan menurunkan empat karya Ahmad Fuad.

Pertama, katanya, karya tersebut telah melalui proses kelulusan sebelum pameran bermula pada 28 Oktober lalu, dan kedua, pameran sudah berjalan selama tiga bulan tanpa ada aduan yang diketahui umum.

“Asas pertimbangan bagi penurunan empat buah karya tersebut adalah kurang jelas dan tidak konsisten dengan konteks pameran secara menyeluruh,” kata Bakhtiar, memberikan alasan ketiga.

Surat itu disalinkan kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi; ketua setiausaha kementerian Dr Noor Zari Hamat dan ketua pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad.

Bakhtiar yang dihubungi The Malaysian Insight mengesahkan surat berkenaan, yang katanya dimaksudkan untuk edaran dalaman.

Dua daripada empat karya Ahmad Fuad Osman yang diturunkan awal bulan ini selepas pameran berlangsung sejak 28 Oktober 2019. – Gambar Instagram, 12 Februari, 2020.

Amerruddin yang dihubungi oleh The Malaysian Insight enggan mengulas mengenai surat Bakhtiar.

Beliau juga sebelum itu enggan mengulas lanjut permintaan Ahmad Fuad agar pamerannya di Balai Seni Visual ditutup serta merta.

Pameran  At The End Of The Day, Even Art Is Not Important bermula pada 28 Oktober lalu dan dijadual berakhir pada 28 Februari ini.

Menurut Amerruddin pihaknya sedang membincangkan isu tersebut dan hanya akan memberi maklum balas seawal-awalnya Jumaat ini atau selewat-lewatnya Isnin.

“Saya akan bagi komen kemudian sebab sekarang kita adakan satu perbincangan dulu. Tidak boleh bagi komen sekarang.

“Sekarang proses mesyuarat, saya ingat Jumaat atau Isnin (depan akan beri kenyataan),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Balai Seni Negara kelmarin mempertahankan tindakan mereka menurunkan empat karya Ahmad Fuad, yang dibuat hasil mesyuarat LPSVN.

Dalam kenyataan pada Isnin, Amerruddin berkata Balai Seni Negara berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat, dan negara.

Ahmad Fuad hari ini bagaimanapun berkata pihak Balai Seni Negara tidak pernah berbincang dengannya atau dengan kurator jemputan yang terlibat sebelum mengambil tindakan itu.

Pelukis berusia 50 tahun juga kecewa kerana Balai Seni Negara langsung tidak menjelaskan bagaimana aduan yang mereka dakwa diterima daripada orang ramai dijadikan asas untuk tindakan.

Empat karya yang diturunkan ialah Untitled 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain (2004), dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.

Bantahan Ahmad Fuad mendapat sokongan hampir 400 karyawan dan peminat seni tanah air yang menandatangani surat terbuka berasingan kepada Balai Seni Negara.

Kartunis Zunar dalam satu kenyataan berasingan turut meminta karyawan Malaysia bersatu bangkit menyuarakan bantahan terhadap institusi seni itu.

Sementara itu, dua pengumpul seni Bingley Sim dan Pakharuddin Sulaiman, yang meminjamkan koleksi mereka untuk pameran Ahmad Fuad, mahu Balai Seni Negara memulangkan serta merta karya pinjaman itu.

Mereka membuat desakan itu sebagai tanda solidariti kepada Ahmad Fuad serta bantahan terhadap tindakan Balai Seni Negara. – 12 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen