Dasar kebudayaan negara dijangka dilancar Mac 2020


Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata Dasar Kebudayaan Negara dijangka dilancarkan pada Mac tahun hadapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2019.

DASAR Kebudayaan Negara (DKN) yang mengandungi ciri dan langkah dalam membina jati diri bangsa rakyat Malaysia dijangka dilancarkan pada Mac tahun hadapan, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata dasar itu yang ketika ini masih dalam proses pemurnian, digubal dengan mengambil kira asas pembinaan negara bangsa yang ada dalam Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971.

“Namun, kita juga mengambil kira kedudukan dan perkembangan sains serta teknologi selain isu globalisasi yang ada di negara kita.

“...dengan ada dasar baharu ini, kita ada satu dasar dan rangka bagi kita menangani kemasukan budaya asing di negara kita,” katanya semasa menjawab soalan tambahan Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) berhubung pelan tindakan kementerian itu dalam menyuburkan dan memulihara warisan, adat dan budaya tempatan khususnya dalam kalangan anak muda.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi berkata DKN baharu itu mempunyai visi untuk mencapai sebuah Negara Maju Rakyat Berbudaya melalui misi memartabatkan seni, budaya dan warisan secara komprehensif dan holistik. 

Menjawab soalan asal Dr Hasan Baharon (PH-Tampin) yang bertanyakan tentang usaha kementerian dalam mempromosi budaya masyarakat Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai fokus utama di peringkat antarabangsa, Muhammad Bakhtiar  berkata kementerian melalui Tourism Malaysia (TM) sentiasa berusaha memperkenalkan negara ini sebagai destinasi pelancongan utama melalui pelbagai langkah.

Antara langkah itu, katanya penyertaan TM di pameran pelancongan antarabangsa seperti Pameran Pelancongan Dunia (WTM), Bursa Pelancongan Antarabangsa (ITB) Berlin, Pameran Pelancongan Arab (ATM) Dubai,  Pameran Pelancongan & Penggembaraan India Selatan  (SATTE) New Delhi, dan Forum Pelancongan ASEAN (ATF).

“Budaya pelbagai kaum akan dipertontonkan melalui gerak tari dan pakaian tradisional semasa persembahan kepada pelawat yang datang ke pameran tersebut yang terdiri dari “pembeli”, media dan pengguna.  

“Selain persembahan kebudayaan, turut dipromosikan adalah penghasilan kraf seperti demonstrasi  pembuatan batik dan seni lukisan inai,” katanya.

Menurutnya, bagi meningkatkan lagi promosi budaya pelbagai kaum dan etnik di peringkat antarabangsa, TM juga mengundang penulis, wartawan serta wakil media sosial antarabangsa (instagram, facebook) untuk menyertai lawatan suai-kenal ke Inap Desa. – Bernama, 20 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen