PERDANA Menteri Anwar Ibrahim perlu bekerjasama dengan Amerika Syarikat, Russia dan China untuk mencari penyelesaian kepada masalah Palestin, kata Presiden Urimai P Ramasamy.
Beliau berkata walaupun penting untuk Anwar mempunyai hubungan dengan Hamas dan pemimpin Arab, beliau juga perlu berhubung dengan kuasa besar dunia bagi mencari cara mengakhiri perang di Gaza.
Katanya, peranan Hamas sebagai barisan hadapan dalam perang di Palestin menentang Israel perlu dipertimbangkan jika ia adalah penyelesaian kepada konflik itu.
“Tidak ada penyelesaian politik untuk masalah rakyat Palestin jika tanpa Hamas. Hamas mungkin dikecam sebagai pertubuhan pengganas tetapi hakikatnya adalah ia wakil untuk rakyat Palestin yang paling efektif.
“Sehubungan itu, penting untuk Anwar mempunyai hubungan dengan Hamas,” katanya yang juga bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang dalam satu kenyataan.
Ramasamy berkata Anwar kelihatan seperti masih tidak tahu apa penyelesaian terbaik untuk rakyat Palestin.
“Setakat ini, beliau tidak mengulas berkenaan cadangan penyelesaian dua negara untuk menyelesaikan isu Palestin.
“Kekerapan mesyuarat dengan pemimpin Arab dan Hamas akan meningkatkan profil Malaysia sebagai pembela hak untuk rakyat Palestin.
“Anwar tahu AS pegang kunci kepada solusi politik untuk rakyat Palestin. Tetapi malangnya beliau tidak mahu berhubung dengan AS mungkin kerana pandangannya tidak dihargai di Washington,” katanya.
Ramasamy berkata pertemuan Anwar dengan Hamas mungkin akan mencetuskan masalah diplomatik kerana AS menganggap kumpulan itu sebgaai organisasi pengganas.
Semalam, Anwar bertemu pemimpin Hamas, Ismail Haniyeh dan Khalid Mashal di Qatar ketika lawatan rasminya tiga hari ke sana.
Perdana menteri memberitahu pemimpin Hamas bahawa Malaysia kekal komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa untuk menghentikan serangan terhadap Rafah.
Anwar pada pertemuan itu berkata beliau diberikan perkembangan berkenaan situasi terkini di Palestin yang sedang berperang akibat serangan bertubi-tubi Israel. – 15 Mei, 2024.
Komen