Balai tak pernah bincang untuk turunkan karya, kata Ahmad Fuad


Ahmad Fuad Osman berkata Balai Seni Visual Negara tidak pernah menjalankan perbincangan dengannya atau kurator jemputan, Shabbir Hussain Mustafa. – Gambar Facebook, 12 Februari, 2020.

BALAI Seni Visual Negara tidak pernah mengadakan sebarang perbincangan sebelum menurunkan empat karya kontroversi dari pameran, kata artis Ahmad Fuad Osman.

Beliau menangkis kenyataan Balai awal minggu ini yang mendakwa karya itu diturunkan dari pameran selepas mengadakan perbincangan dengannya.

Ahmad Fuad menegaskan, Balai tidak pernah menjalankan perbincangan itu sama ada dengan dirinya atau dengan kurator jemputan terlibat, Shabbir Hussain Mustafa.

“Dalam kenyataannya, Balai menekankan bahawa kami berbincang mengenai penurunan karya saya dan memberikan gambaran seolah-olah saya bersetuju.

“Saya sama sekali tidak setuju dengan penurunan karya-karya itu,” kata Ahmad Fuad dalam satu kenyataan di Facebook.

Ahmad Fuad turut hairan dengan kenyataan Balai Seni Negara, kerana berbeza dengan penjelasan yang diberikan kepadanya.

“Dalam surat daripada Balai, mereka memberitahu keputusan itu terdapat satu aduan daripada ahli lembaga pengarah.

“Tetapi dalam kenyataan media, mereka berkata mendapat aduan daripada orang awam dan keputusan itu adalah secara kolektif daripada ahli lembaga pengarah,” katanya.

Tambahnya, Balai tidak boleh menurunkan karya tersebut dengan sewenang-wenangnya berdasarkan aduan kerana ia perlu melalui proses perbincangan.

Fuad turut kecewa kerana Balai tidak lansung memberi penjelasan bagaimana satu-satu aduan, boleh dijadikan ukuran menurunkan karyanya.

“Apa proses yang dilakukan oleh pihak Balai untuk turunkan karya saya? Bagaimana Balai mengenal pasti karya itu berbanding karya lain?” soalnya.

Oleh itu beliau mencadangkan kepada Balai untuk mengadadkan siri rundingan dan forum awam untuk membincangkan isu tersebut yang kini menjadi skandal awam.

“Dialog terbuka sangat penting, terutamanya jika mahu institusi seni awam kekal relevan dalam perbahasan tentang seni,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Fuad juga tetap dengan pendirian agar semua karyanya diturunkan dan pemeran itu juga dihentikan.

Empat karya Ahmad Fuad diturunkan ketika pameran solonya dijadualkan berakhir pada 28 Februari ini. Pameran “At The End Of The Day, Even Art Is Not Important” dibuka sejak 28 Oktober tahun lalu.

Karanya berkenaan bertajuk Untitled 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain (2004), dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.

Bantahan Ahmad Fuad mendapat sokongan hampir 400 karyawan dan peminat seni tanah air yang menandatangani surat terbuka berasingan kepada Balai.

Antaranya, kartunis Zunar yang mengingatkan bahawa karya seni wajar menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk lembaga pengarah Balai.

Tambahnya, lembaga itu juga tidak wajar menjadikan persepsi itu sebagai peraturan atau undang-undang.

Lembaga itu juga perlu berkhidmat kepada rakyat, yang tidak menyatakan apa-apa bantahan ke atas karya berkenaan, katanya.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad berkata pihaknya berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat, dan negara.

“Pameran merupakan suatu proses dan ianya bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.

“Proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita,” katanya.

Dua pengumpul karya seni turut menggesa Balai memulangkan karya yang dipinjamkan untuk pameran tersebut.

Bingley Sim dan Pakharuddin Sulaiman membuat desakan itu malam tadi sebagai tanda solidariti kepada Ahmad Fuad serta bantahan terhadap tindakan Balai. – 12 Februari, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen