SEMUA artis perlu bangkit menyuarakan sikap membantah tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya pelukis Ahmad Fuad Osman, tiga bulan selepas dipamerkan dalam pameran solonya di galeri nasional itu, kata kartunis Zulkiflee SM Anwar Ulhaque.
Zulkiflee atau nama penanya Zunar berkata semua artis perlu bersama-sama Fuad membantah tindakan Balai Seni Negara itu.
“Saya sokong Fuad. Saya sokong beliau minta turunkan semua artworks beliau sebagai protes dan Balai Seni Lukis Negara perlu ikut.
“Semua artis perlu lakukan ini untuk dapat sokongan publik dalam hadapi penapisan dari negara,” kata Zunar dalam satu kenyataan.
Balai Seni Negara kelmarin mempertahankan tindakan mereka menurunkan empat karya Fuad, yang dibuat hasil mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.
Empat karya itu ialah Untitled 2012, Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody, Imitating the Mountain (2004), dan Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik.
Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Balai Seni Negara, Amerruddin Ahmad berkata pihaknya berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat, dan negara.
“Pameran merupakan suatu proses dan ianya bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.
“Proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita,” katanya.
Empat karya Fuad diturunkan ketika pameran solonya dijadual berakhir pada 28 Februari ini. Pameran “At The End Of The Day, Even Art Is Not Important” dibuka sejak 28 Oktober tahun lalu.
Menurut Zunar, karya seni wajar menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk lembaga pengarah Balai Seni Negara tetapi mereka tidak wajar menjadikan persepsi itu sebagai peraturan atau undang-undang.
“Perlu diingat, gaji dan elaun lembaga pengarah Balai dan ketua pengarah Balai dibayar hasil cukai orang awam. Kerana itu, mereka perlu bertindak mengikut kehendak publik bukan selera politik mereka.
“Dalam isu ini tiada orang awam yang protes tentang pameran tersebut,” kata Zunar.
Kartunis itu juga meminta pihak Balai Seni Negara untuk menyatakan alasan empat karya Fuad diturunkan daripada pamerannya.
“Alasan ‘sensitif’ seperti yang dinyatakan oleh ketua pengarah Balai tidak dapat diterima. Sensitiviti siapa?”
Jelas Fuad, tindakan Balai Seni Negara menentukan kerja seni karyawan yang mereka biayai akan mengongkong kreativiti karyawan, dan perlu dihentikan.
“Saya menyeru semua artis - apa juga bentuk seni bangun dan memprotes tindakan Balai Seni ini.
“Ia sebagai kenyataan penting bukan saja kepada Balai Seni tetapi juga institusi lain di Malaysia,” kata Zunar.
Zunar turut meminta kerajaan memberi “nasihat keras” kepada Balai Seni Negara supaya ruang kebebasan terus terbuka dan penapisan dipadamkan.
“Malaysia baru tidak akan menjadi baru, sekiranya mentaliti masih ditakuk lama,” tambah Zunar. – 12 Februari, 2020.
Komen