2 pengumpul lukisan minta Balai Seni Negara pulangkan karya Ahmad Fuad


Salah satu karya Ahmad Fuad Osman yang dipamerkan di Balia Seni Negara dan kemudiannya diturunkan atas alasan ia berusur politik dan berbaur lucah. – Gambar Instagram, 12 Februari, 2020.

DUA pengumpul seni meminta Balai Seni Negara memulangkan karya Ahmad Fuad Osman yang mereka pinjamkan untuk pameran pelukis itu selepas agensi berkenaan menurunkan empat karya daripada pameran itu minggu ini.

Bingley Sim dan Pakharuddin Sulaiman membuat desakan itu malam tadi sebagai tanda solidariti kepada Ahmad Fuad serta bantahan terhadap tindakan Balai Seni Negara.

“Saya rasa saya tiada pilihan selain meminta (Balai Seni Negara) memulangkan segera karta dalam pameran itu yang dipinjamkan oleh saya,” tulis Bingley di Instagram.

Bingley membuat desakan itu tidak lama selepas Pakharuddin meminta Balai Seni Negara memulangkan lima karya Ahmad Fuad dalam koleksinya yang dipinjamkan untuk pameran itu.

Daripada empat karya yang diturunkan minggu ini, satu daripadanya iaitu Imitating The Mountain (2004) adalah juga koleksi Pakharuddin.

“Saya dengan ini meminta pihak Balai untuk berhenti dari melibatkan kelima-lima karya yang lain itu di dalam pameran yg sudah dikompromikan itu dan memulangkannya kembali kepada saya,” tulis Pakharuddin juga di Instagram.

Balai Seni Negara kelmarin mempertahankan tindakan mereka menurunkan empat karya Ahmad Fuad, yang dibuat hasil mesyuarat Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad berkata pihaknya berhak menurunkan karya yang menyentuh maruah mana-mana individu, agama, politik, bangsa, adat, dan negara.

“Pameran merupakan suatu proses dan ia bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.

“Proses ini sentiasa berjalan untuk mendapatkan kematangan yang sesuai dengan pengunjung dan masyarakat kita,” katanya.

Empat karya Ahmad Fuad diturunkan ketika pameran solonya dijadualkan berakhir pada 28 Februari ini. Pameran “At The End Of The Day, Even Art Is Not Important” dibuka sejak 28 Oktober tahun lalu.

Ahmad Fuad dalam surat terbuka kepada Balai Seni Negara minggu ini mempersoalkan tindakan menurunkan empat karyanya selepas “perbincangan, diluluskan, dan selepas dipamerkan berbulan-bulan”.

Katanya, tindakan Balai Seni Negara yang tidak telus itu tidak boleh dibayangkan terutama selepas perubahan politik yang berlaku antaranya kerana desakan rakyat mahukan ketelusan.

“Isunya lebih besar daripada hanya beberapa karya atau sebuah pameran, atau amalan karyawan tertentu.

“Isunya ialah integriti seni di Malaysia serta proses bagaimana ia ditangani oleh institusi awam,” kata Ahmad Fuad.

Ahmad Fuad turut mendesak Balai Seni Negara menamatkan serta merta pamerannya.

Bantahan Ahmad Fuad umumnya mendapat sokongan hampir 400 karyawan dan peminat seni tanah air yang menandatangani surat terbuka berasingan kepada Balai Seni Negara. – 12 Februari, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen