55 pengumpul seni ugut boikot Balai Seni Negara


The Malaysian Insight

Balai Seni Negara terkait kontroversi sehingga komuniti seni berpengaruh memberi amaran akan memboikot agensi itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

LEBIH 50 orang pengumpul seni ternama memberi amaran kepada Balai Seni Negara yang mereka tidak akan lagi meminjamkan karya simpanan mereka sekiranya kontroversi Ahmad Fuad Osman tidak diselesaikan.

Dalam laporan dikeluarkan laman The Arts Equater, 55 pengumpul seni itu meminta BSN menaikkan semula empat karya pameran terbaru Ahmad Fuad yang diturunkan atau mereka tidak lagi akan meminjam karya simpanan mereka kepada institusi itu.

BSN kini terkait kemelut dengan Ahmad Fuad dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan kerana keputusannya menurunkan empat karya daripada pameran Akhirnya Seni Pun Tidak Penting (1990 – 2019).

Pameran itu sudah berlangsung sejak Oktober 2019 sehinggalah galeri itu memutuskan menurunkan empat karya pada 10 Februari lalu kerana didakwa berbaur politik dan lucah.

Laporan menyebut 55 pengumpul seni itu memberi amaran itu menerusi petisyen dalam talian dan surat dituju kepada BSN.

Mereka berkata semua karya pameran itu sudah disaring sebelum dipamerkan dan keputusan menurunkan empat karya tanpa alasan jelas tidak boleh diterima.

“Kesannya, kami dengan ini menyatakan bahawa kami tidak akan meminjamkan karya dalam simpanan kami kepada galeri pada masa depan sekiranya karya dikenakan saringan sebegitu oleh lembaga pengarah dan pengurusan (BSN),” kata petisyen itu.

“Kami dengan ini meminta galeri menaikkan semula empat karya Ahmad Fuad Osman tanpa penangguhan lagi.”

Laporan menyebut galeri berisiko berdepan sumber penting karya seni sekiranya penyimpan seni persendirian memboikotnya.

“Disebabkan sumber terhad dan kepincangan dasar pengumpulan jangka panjang, banyak karya seni Malaysia yang penting kini dipegang oleh pengumpul persendirian atau institusi luar negara.

“Galeri mempunyai hubungan yang secara umumnya baik dengan pengumpul yang kerap meminjamkan karya penting untuk pameran galeri.

“Dengan amaran kehilangan akses kepada koleksi karya berharga dipegang pengumpul, kemampuan galeri untuk mengadakan pameran utama pada masa depan bakal terjejas.”

Zain Azahari Zainal Abidin, Pakhruddin Sulaiman dan Bingley Sim adalah antara pengumpul karya seni utama Malaysia yang menandatangani petisyen itu.

Ketiga-tiga mereka yang meminjamkan karya Ahmad Fuad untuk pameran itu sudah meminta galeri memulangkan kembali karya yang dipinjam.

Pengumpul lain yang menandatangani petisyen itu ialah: Yee Tak Hong, Nariza Hashim, Anwar Jumabhoy, Lim Edin Nom, Rosaline Ganendra, Azizan Paiman,  Long Thien Shih, Shalini Ganendra, Joshua Lim dan Ng Sek San.

Penandatangan lain petisyen termasuklah aktivis hak asasi Marina Mahathir, penulis Karim Raslan dan pengarah Bronte Parlare dan Jo Kukathas.– 16 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen