Naikkan semula semua karya atau tutup pameran, kata Ahmad Fuad


Kalidevi Mogan Kumarappa

Salah satu karya Ahmad Fuad Osman yang dipamerkan Balai Seni Negara dan kemudiannya diturunkan atas alasan ia berusur politik dan berbaur lucah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2020.

BALAI Seni Negara sedia menaikkan semula hanya tiga daripada empat karya Ahmad Fuad Osman yang diturunkan daripada pameran solonya di galeri nasional itu awal bulan ini, kata sumber.

The Malaysian Insight difahamkan, keputusan itu disampaikan oleh pihak pengurusan galeri kepada Ahmad Fuad dalam satu pertemuan di Balai Seni Negara kelmarin.

Ahmad Fuad bagaimanapun memberitahu beliau tidak berganjak daripada pendiriannya mahu semua keempat-empat karyanya dinaikkan semula, atau pameran yang sepatutnya berakhir pada hujung bulan ini ditutup serta merta.

Jika pihak Balai Seni Negara tidak dapat menerima permintaannya itu, Ahmad Fuad memberitahu The Malaysian Insight beliau tegas mahu pameran “Akhirnya Seni Pun Tidak Penting” dihentikan serta merta hari ini.

“Saya tetap mahu mereka naikkan semula semua empat karya atau tutup seluruh pameran serta-merta esok (Sabtu), sekiranya menteri tidak dapat terima permintaan saya,” kata Ahmad Fuad kepada The Malaysian Insight, ketika dihubungi malam tadi.

Karya yang tidak dipersetujui oleh Balai Seni Negara untuk dipasang semula ialah “Imitating the Mountain”, sebuah lukisan cat minyak yang menunjukkan seorang lelaki berbaring dalam keadaan telanjang dengan berlatarbelakangkan jajaran gunung.

“Saya tidak terima (keputusan itu). Kalau sekarang satu lukisan ditapis, isunya tetaplah ada penapisan, dan persoalannya kenapa selepas tiga bulan pameran,” kata Ahmad Fuad, ditanya mengenai hasil perbincangannya dengan pengurusan Balai Seni Negara.

Perbincangan itu diadakan atas arahan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi.

Pihak pengurusan Balai Seni Negara dijadual memberi taklimat hasil rundingan mereka dengan Ahmad Fuad kepada Mohamaddin di Pulau Pinang, hari ini.

“Saya harap mereka akan menimbangkan permintaan saya… naikkan balik semua karya dan teruskan pameran sehingga 29 Februari ini,” kata Ahmad Fuad.

Pada Isnin lalu, Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad mengesahkan tindakan pihaknya menurunkan empat karya Ahmad Fuad.

Beliau memberi alasan karya yang dipamerkan di galeri nasional itu adalah “suatu proses dan bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.”

Amerruddin membuat pengesahan itu beberapa jam selepas Ahmad Fuad menulis surat terbuka mendesak Balai Seni Negara telus dengan keputusan menurunkan empat karyanya.

Ahmad Fuad membantah tindakan Balai Seni Negara yang katanya tidak dirunding dengan beliau atau kurator pameran, dan dibuat selepas pihak pengurusan galeri meluluskan karya yang hendak dipamerkan pada Oktober lepas.

Balai Seni Negara sedia menaikkan semula tiga daripada empat karya Ahmad Fuad Osman yang diturunkan daripada pameran solonya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Februari, 2020.

Tiga lagi karya yang diturunkan tetapi difahamkan diperkenan oleh Balai Seni Negara untuk dinaikkan semula termasuk “Untitled (2012)”, “Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody”, dan “Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik”.

Tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya Fuad mendapat bantahan kelompok karyawan yang melihatnya sebagai sekatan kepada kebebasan bersuara, yang juga tidak selaras dengan perubahan sejak pilihan raya umum lalu.

Dua pengumpul seni Bingley Sim dan Pakharuddin Sulaiman turut mendesak Balai Seni Negara memulangkan serta merta karya Ahmad Fuad koleksi mereka yang dipinjam untuk pameran itu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik turut menulis surat peribadi meminta Balai Seni Negara menimbang untuk menaikkan semula empat karya itu.

Beliau juga meminta Balai Seni Negara meminta maaf kepada Ahmad Fuad.

Pameran “Akhirnya Seni Pun Tidak Penting” menghimpunkan karya Ahmad Fuad yang dihasilkan antara 1990 dan 2019, sebagai tinjauan perkembangan pengkaryaannya.

Pameran itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu dan sepatutnya ditutup pada 31 Januari lalu. Ia bagaimanapun disambung sehingga 29 Februari ini atas permintaan Balai Seni Negara. – 15 Februari, 2020.
 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen