Balai Seni Negara akan pasang semula karya Ahmad Fuad


Zaim Ibrahim

Empat karya Ahmad Fuad Osman diturunkan Balai Seni Negara mencetuskan bantahan pelbagai pihak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

BALAI Seni Visual Negara memberi jaminan akan menaikkan semula empat karya Ahmad Fuad Osman yang didakwa berbaur politik dan lucah.

Satu sumber badan itu memberitahu The Malaysiann Insight, ia akan dinaikkan seawal hari ini atau esok.

“(Empat karya ini) akan dinaikkan semula sehingga tamat pameran pada 28 Februari. Turut akan diadakan adalah program sokongan bersama pelukis dan kurator pada 21 Februari,” kata sumber itu.

Pengumuman hari ini susulan kenyataan Ahmad Fuad agar Balai enggan menghentikan pameran sekiranya enggan menaikkan semula karya berkenaan.

Menurutnya, Balai tidak berunding dengannya mahupun dengan kurator untuk menurunkan karya tersebut.

Tegasnya, karya berkenaan sudahpun diluluskan oleh pihak pengurusan galeri meluluskan karya yang hendak dipamerkan pada Oktober lepas.

Lebih 50 orang pengumpul seni ternama turut memberi amaran tidak akan meminjamkan lagi karya simpanan mereka kepada Balai sekiranya kontroversi Ahmad Fuad Osman tidak diselesaikan.

Dalam laporan dikeluarkan laman The Arts Equater, 55 pengumpul seni itu mendesak Balai menaikkan semula empat karya pameran terbaru Ahmad Fuad yang diturunkan.

Balai Seni Negara memaklumkan mereka akan menaikkan semula karya Ahmad Fuad Osman yang diturunkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

Antara karya yang menjadi kontroversi adalah sebuah catan beratajuk “Imitating the Mountain” memaparkan seorang lelaki berbaring dalam keadaan telanjang dengan latar belakang jajaran gunung.

Ia merupakan sebahagian dari pameran “Akhirnya Seni Pun Tidak Penting”.

Tinjauan The Malaysian Insight pada Khamis lalu mendapati empat karya tersebut masih belum dipasang semula selepas kes tersebut mendapat teguran Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau mengarahkan Balai mempertimbangkan semula tindakan menurunkan karya berkenaan dari pameran. – 16 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen