Ahli lembaga pengarah pengurusan Balai Seni Negara letak jawatan


Mohd Farhan Darwis

Tindakan pengumpul seni Richard Koh meletakkan jawatan dalam lembaga Pembangunan Seni Visual Negara minggu ini dipercayai ekoran tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya pelukis Ahmad Fuad Osman.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

PENGUMPUL seni terkenal Richard Koh meletakkan jawatan daripada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN) minggu ini dipercayai ekoran tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya pelukis Ahmad Fuad Osman daripada pameran yang sedang berlangsung di galeri nasional itu, kata sumber.

Lembaga itu adalah agensi yang ditubuhkan melalui akta Parlimen yang bertanggungjawab menguruskan Balai Seni Negara.

The Malaysian Insight difahamkan pemilik Richard Koh Fine Art itu menyerahkan surat perletakan jawatannya selepas mesyuarat lembaga pengarah badan itu pada Khamis lalu.

“Beliau meletakkan jawatan sebab isu ini, surat perletakan jawatan pun sudah diserahkan,” kata sumber yang mendedahkan maklumat tersebut dengan syarat identitinya tidak dinamanya.

Seorang sumber lain yang juga kurator dan pengumpul seni turut mengesahkan maklumat yang sama.

Sementara itu, laporan The Star antara lain menyebut Koh bertindak demikian selepas mempersoalkan profesionalisme dan kebertanggungjawab Balai.

Jelasnya, ia berdasarkan pemerhatiannya ke atas hujah dan juga rentetan peristiwa serta keputusan yang dibuat dalam kes penurunan karya berkenaan.

Katanya beliau bimbang kerana kesilapan yang dilakukan oleh pihak Balai tidak diakui dan dipertanggungjawabkan.

Tambahnya, kes itu juga menunjukkan lembaga tersebut masih jauh ketinggalan dalam mencapai piawai profesionalisme untuk mentadbir lembaga seni kebangsaan.

“... terutama sekali dalam bertindak telus dalam menjelaskan alasan seseorang artis ditapis,” katanya seperti dipetik portal bahasa Inggeris itu.

LPSVN ialah sebuah agensi yang ditubuhkan melalui akta Parlimen pada 2011, menggantikan Akta Balai Seni Lukis Negara 1959 yang memberikannya kuasa lebih luas.

Lembaga itu tidak hanya mengendalikan galeri nasional tetapi juga bertanggungjawab terhadap pembangunan seni di Malaysia, tidak terhad hanya pada lukisan sebaliknya turut mencakupi seni fotografi dan multimedia.

The Malaysian Insight masih cuba mendapatkan komen daripada Ketua Pengarah Balai Seni Negara Amerruddin Ahmad. Beliau sebelum ini juga enggan memberi komen terhadap beberapa pertanyaan media mengenai kontroversi berhubung pameran Ahmad Fuad.

Amerruddin pada Isnin lalu mengesahkan tindakan galeri itu menurunkan empat karya Ahmad Fuad daripada pameran solonya, setelah lebih tiga bulan pameran berlangsung.

Ruang pameran di Balai Seni Negara kosong selepas dua lukisan karya Ahmad Fuad Osman diturunkan pihak berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 16 Februari, 2020.

Beliau berkata, tindakan itu bukan mustahil kerana mendakwa semua karya yang dipamerkan di galeri nasional itu adalah “suatu proses dan bukan produk akhir, walaupun dalam tempoh berpameran.”

Susulan itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohammadin Ketapi mengarahkan pihak Balai Seni Negara berbincang dengan Ahmad Fuad, dan perbincangan itu diadakan juga pada Khamis lalu.

Hasil perbincangan itu pihak Balai Seni Negara hanya sedia menaikkan semula tiga daripada empat karya yang diturunkan.

Keputusan itu ditolak oleh Ahmad Fuad yang mahu semua karya dinaikkan semula atau pameran Akhirnya Seni Pun Tidak Penting ditutup serta merta.

Karya yang tidak dipersetujui oleh Balai Seni Negara untuk dinaikkan semula ialah “Imitating the Mountain”, sebuah lukisan cat minyak yang menunjukkan seorang lelaki berbaring dalam keadaan telanjang dengan berlatar belakangkan jajaran gunung.

Tiga lagi karya yang diturunkan tetapi diperkenan oleh Balai Seni Negara untuk dinaikkan semula ialah “Untitled (2012)”, “Dreaming of Being Somebody Afraid of Being Nobody”, dan “Mak Bapak Borek, Anak Cucu Cicit Pun Rintik”.

Tindakan Balai Seni Negara menurunkan empat karya Fuad mendapat bantahan kelompok karyawan yang melihatnya sebagai sekatan kepada kebebasan bersuara, yang juga tidak selaras dengan perubahan sejak pilihan raya umum lalu.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Muhammad Bakhtiar Wan Chik turut menulis surat peribadi meminta Balai Seni Negara menimbang untuk menaikkan semula empat karya itu.

Beliau juga meminta Balai Seni Negara meminta maaf kepada Ahmad Fuad.

Pameran “Akhirnya Seni Pun Tidak Penting” menghimpunkan karya Ahmad Fuad yang dihasilkan antara 1990 dan 2019, sebagai tinjauan perkembangan pengkaryaannya.

Pameran itu bermula pada 28 Oktober tahun lalu dan sepatutnya ditutup pada 31 Januari lalu. Ia bagaimanapun disambung sehingga 29 Februari ini atas permintaan Balai Seni Negara. – 16 Februari, 2020.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen