Dana CSR, KL Kota Buku dan rintihan penerbit


Zainal Rashid Ahmad

DANA Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bernilai tidak kurang RM5 bilion setahun. Tiada data khusus pernah diumumkan Kementerian Kewangan (MoF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenai jumlah dana ini.

MoF dan LHDN memiliki angka tepat melalui data tahunan berdasarkan permohonan pengecualian cukai korporat.

Angka RM5 bilion diukur berdasarkan lebih 70% (atau 600 lebih) syarikat tersenarai di Bursa Malaysia memiliki dana CSR. Jumlah itu mewakili 20% nilai pemain ekonomi utama di negara ini.

Angka RM5 bilion hanyalah anggaran minimum dana CSR yang dibelanjakan di negara ini.

Sekadar rujukan, Petronas memiliki RM270 juta dana CSR dengan keutamaan pada pendidikan universiti. Manakala CIMB mengumumkan peruntukan RM70 juta CSR bagi 2019.

Fungsi utama CSR ialah program kebajikan. Peranan ini relatif dengan idealisme budaya korporat penyayang yang menular secara meluas di negara ini sejak tiga dekad lalu.

Kita menghargai agenda kebajikan. Selain kebajikan, dana CSR turut diperluaskan kepada pembangunan pendidikan, tajaan sukan, kajian alam sekitar dan kempen negara bangsa.

Cuma, menjelang pengisytiharan Kuala Lumpur Kota Buku Unesco (KLWBC), kita berharap dana CSR memiliki nafas baharu.

KLWBC memikul tanggungjawab sosial yang besar. Apa lagi, agenda menjadikan perbukuan dan budaya membaca sebagai teras gaya hidup masyarakat.

Memaknakan nilai KL Kota Buku

Dalam konteks Malaysia, dan imej Kuala Lumpur sebagai simbol kota buku dunia, KLWBC memiliki ruas cabaran yang besar. Selain memangkinkan senario ekosistem industri perbukuan domestik, KLWBC juga terikat pada aspirasi Unesco.

Cabaran jadi berganda kerana KLWBC hadir ketika industri perbukuan negara sedang berdepan dengan kemelut bisnes yang komplikated.

Tiga teras utama cabaran KLWBC ialah meningkatkan kadar bacaan rakyat Malaysia. Pada masa purata kadar membaca hanya 1.7 muka surat sehari. Jauh di bawah sasaran standard Unesco iaitu 15 buku setahun.

Cabaran kedua ialah jumlah judul penerbitan buku. Standard Unesco menetapkan jumlah terbitan tahunan judul buku mesti 1% per kapita penduduk. Ertinya, 32,000 judul setahun menjadi indeks sasaran Malaysia.

Namun, rekod penerbitan buku menunjukkan data yang menakutkan. Antara tahun 2015 hingga 2017, jumlah judul buku yang diterbitkan menurun tahun ke tahun. Pada 2015 angkanya sekitar 18,000 judul dan pada 2017 menurun ke paras 16, 000 judul.

Realistiknya, kita memerlukan tambahan penerbitan antara 14,000 ke 16,0000 judul bagi merealisasikan standard Unesco.

Ketiga, cabaran industri buku berdepan kemelut syarikat penerbitan sedang menuju “cabaran gulung tikar”. Ini bukan aneh. Realiti industri buku sedang menuju konflik “muflis” – satu rahsia terbuka.

Apa relevan isu CSR dan industri buku?

Sekiranya pengendali dana CSR melihat KLWBC sebagai satu tanggungjawab sosial dan kenegaraan, ia mampu mengubah senario perbukuan negara. Malah, menjadikan KLWBC sebagai titik peralihan industri perbukuan.

Sekiranya 5% dana CSR disuntik ke industri perbukuan, jumlah RM250 juta ke RM300 juta setahun, satu angka amat besar. Malah, memberikan 40% hingga 45% nilai ekonomi baharu bagi melonjakkan industri penerbitan.

Pada masa ini, total pasaran industri buku sekitar RM800 juta setahun. Majoriti disumbangkan kerajaan melalui Skim Buku Teks. Manakala pasaran buku umum terutama sastera sedang menjunam teruk.

Jeritan batin penerbit buku

Penerbit buku adalah pemain paling menderita dalam rantaian ekosistem perbukuan nasional. Stok buku tidak terjual dan tersimpan dalam stor dianggarkan bernilai lebih RM300 juta.

Jangan terkejut. Utusan Publications sebelum dilelong memiliki stok RM15 juta nilai buku di dalam stor. Selain itu, saya merujuk banyak data dan angka melalui rakan-rakan penerbit dalam industri.

Berdasarkan informasi, masalah stok buku terkandas menjadi beban paling besar industri perbukuan. Merudumnya ekonomi mencetuskan krisis pasaran yang merencatkan jualan buku.

Akibatnya, penerbit kehilangan modal pusingan untuk terus menjana judul baharu.

Majoriti penerbit kini berada di ambang krisis perniagaan yang kritikal. Malah, selangkah demi selangkah menuju gulung tikar.

KLWBC satu momen besar dalam sejarah perbukuan negara. Penerbit buku mengharapkan status Kuala Lumpur sebagai Kota Buku bertaraf dunia menciptakan keajaiban. Sekali gus menyelamatkan industri buku yang sedang tenat.

Penerbit menyimpan harapan besar. Walaupun, ramai yang masih sinikal dengan potensi “kewujudan ekosistem baharu”.

Sejarah Kota Buku Unesco digagaskan sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia pada 23 April.

Tentulah KLWBC relatif pada soal penerbitan dan pasaran modal. Malah, naratif utama Unesco juga menekankan pada usaha meluaskan jangkauan pembacaan dan akses perbukuan.

“Tapi apakah KLWBC akan menekankan isu penerbitan buku yang kini dilanda krisis pasaran yang teruk?” tanya Jeneral Sindiket Soljah, Azlan Sinaganaga.

Azlan mewakili generasi lebih 40 penerbit bebas (indie) yang aktif sejak 2006. Ketika itu industri perbukuan berkembang rancak.

Selain menjadi penerbit alternatif, penerbit indie mencipta trend baharu dalam penerbitan buku puisi, cerpen dan novel.

“Hari ini tinggal sembilan penerbit indie yang masih aktif, yang lain tutup bisnes sejak industri buku merudum pada 2014,” kata Azlan.

KLWBC titik penukar ekosistem perbukuan

Dalam satu perbualan di WhatsApp, penerbit produktif indie melahirkan rasa kecewa dengan keadaan industri perbukuan semasa.

“Ketika penulis tidak dibayar royalti, dan penerbit tidak menerima bayaran, siapa peduli. Pada 2018, ketika industri buku sangat tenat, tidak ada diskusi mengenai masalah industri penerbitan,” katanya.

Wujud kebimbangan mengenai hala tuju KLWBC. Sama ada dianjurkan sebagai program sahaja, atau mampu menjadi titik penting menangani krisis industri perbukuan secara menyeluruh.

Rakan-rakan indie yang dulu aktif bertemu dan berbincang mengenai manuskrip terbaik, kini sudah menghilang. Bisnes sudah ditutup dan tidak lagi aktif dalam penerbitan buku.

Penerbit kecil yang masih bersemangat, terus bertarung dengan berusaha menghabiskan sisa buku di dalam stor.

Menurut Azlan, bagi penerbit indie, ia tidak mudah kerana jumlah stok buku tersadai antara RM30,000 hingga RM700,000.

Bagi penerbit besar, angka mencapai antara RM10 juta hingga RM25 juta.

“Tidak kurang 500 penulis lahir pada era kebangkitan indie pada 2006 hingga 2013 dengan purata buku boleh dijual dicetak 3 ribu hingga 50 ribu cetakan per judul,” kata Azlan.

Itu zaman emas penerbit indie. Sekarang, menghabiskan 300 naskhah judul baharu satu beban berat.

Penerbit indie tidak wajar diketepikan. Majoriti merintis jalan sebagai penerbit bebas yang mempelopori peralihan kandungan karya sastera kebangsaan.

“Nilai statik dan skematik sastera konvensional berubah apabila ledakan penerbitan indie memberikan corak dan pengaruh baru,” kata Azlan.

Dilema ini menjadikan kita seriau. Malah, bertanya dan tertanya-tanya mengenai masa depan perbukuan nasional. Apa lagi selepas KLWBC, kita berdepan Dekad Membaca Kebangsaan 2021-2030.

Secara konstruktif, elok kita bekerjasama dan menjadikan KLWBC sebagai titik yang mengubah persoalan yang menakutkan ini. – 18 Disember, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen