Sempadan bolos bukan isu baharu


Zainal Rashid Ahmad

PADA 2003, anda hanya perlu membayar harga senjata api mengikut jumlah yang dipersetujui dengan penjenayah di Danok, Thailand.

Apabila persetujuan dicapai, sindiket ini akan menguruskan penyeludupannya merentasi pintu masuk utama di sempadan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bukit Kayu Hitam tanpa pemeriksaan pasport.

Anda juga boleh menyeludup pistol palsu termasuk model terkini yang banyak dijual di Thailand berserta sebilah pisau rambo 18 inci dengan upah hanya RM50.

Program TV Edisi Siasat dengan rakaman bukti menggunakan kamera tersembunyi kerap mendedahkan sindiket penyeludupan di sempadan pada 2001 hingga 2003.

Malah, sindiket penyeludup bermotosikal hanya mengenakan upah semurah RM20 untuk menyeludup menumpang menyeberangi CIQ tanpa pemeriksaan pasport.

Sindiket yang sama akan menguruskan pertemuan dengan pengedar senjata api, dadah dan hamba seks. Dekad pertama 2000, sempadan CIQ Bukit Kayu Hitam seperti pekan koboi tanpa undang-undang.

Asal ada wang tunai, belilah apa saja yang diharamkan, ia halal untuk diseludup. Sepanjang 72 jam berurusan di Danok, Edisi Siasat berjaya merakamkan banyak bukti penyelewengan.

Setelah visual pembongkaran sindiket ini disiarkan di ntv7, penerbit Edisi Siasat dipanggil ke Bukit Aman.

“Kamu sepatutnya melaporkan kes ini kepada polis dan bukan menyiarkan di TV secara terbuka,” kata pegawai penyiasat.

“Tugas kami melaporkan kerana program ini kewartawanan siasatan. Ini bahan yang kami perlukan,” jawab penerbit.

Sempadan Malaysia dan Thailand sama ada di Bukit Kayu Hitam di Kedah, Padang Besar di Perlis dan Golok di Kelantan sejak berdekad lamanya adalah laluan bolos dan polos.

Bukan setakat pagar sempadan dalam hutan atau sepanjang sungainya, jenayah sebenarnya berleluasa di laluan CIQ yang dikawal pihak berkuasa.

Dari seludup senjata ke kes jual manusia

Realiti paling ngeri dalam sejarah jenayah di sempadan ialah kes penemuan Kubur 20 pada 2015. Ia membuktikan wujud sindiket terancang membabitkan pihak berprofil tinggi dan sindiket pemerdagangan manusia. Sekali lagi ia berlaku di sempadan Malaysia dan Thailand.

Kes tapak kubur pelarian Rohingya yang diseludup dan akhirnya mati di kem tahanan di Bukit Genting Perah, Wang Klian satu kejutan.

Sukar diduga keadaan sempadan semakin teruk 14 tahun selepas Edisi Siasat membongkar kepolosan kawalan di laluan kawalan keselamatan. Lebih memalukan, kes Kubur 20 berkait rapat dengan syak wujudnya korupsi pihak berkuasa.

Pada Disember 2017, wartawan projek khas New Straits Times (NST) mendedahkan kegemparan baharu. Isunya mengenai adanya cubaan untuk menutup siasatan kes Kubur 20.

Bukti asas pasukan khas NST ialah jurang waktu pihak berkuasa mendedahkan kes ini. Kem Kubur 20 ditemui pada Januari 2015 tetapi hanya didedahkan empat bulan (25 Mei) kepada umum.

Video SPRM bukti jenayah sempadan tak pernah mati!

Pada 18 Oktober baru-baru ini – empat tahun skandal Kubur 20, sekali lagi tercetus kegemparan.

SPRM mendedahkan klip video berdurasi 11 minit rakaman kegiatan penyeludupan di sempadan Padang Besar, Perlis.

Klip video ini kombinasi bukti antara tahun 2017 hingga Mei 2019 mengenai jenayah penyeludupan di sempadan yang tidak pernah mati. Ironinya, video ini lengkap dengan bukti, pihak berkuasa turut bersubahat.

Visual menunjukkan pihak keselamatan tidak bertindak ketika penyeludup memotong pagar sempadan dan melarikan barangan bersubsidi tempatan ke sempadan Thailand.

Sidang media SPRM turut mendedahkan, amalan ini berleluasa sejak dua tahun lalu. Itu hanya dari satu sumber laluan.

Kita percaya dari Wang Klian dan Padang Besar di Perlis, Bukit Kayu Hitam dan Durian Burung di Kedah, Pangkalan Hulu di Perak dan sepanjang Sungai Golok, Kelantan – ratusan kes yang sama berlaku setiap bulan.

Pihak berkuasa sebahagian daripada sindiket ini. Malah, ia organisasi terancang sejak lama dulu. Sekiranya siasatan terperinci dijalankan, ia mampu membuktikan skandal jenayah rentas sempadan ini jauh lebih mengejutkan.

Video SPRM mendedahkan kelemahan di CIQ Padang Besar, Perlis. Mustahil ia hanya permainan penguat kuasa pangkat bawahan. Ini skandal besar yang berlarutan sejak lama dulu.

Sejak dua dekad media massa berjuang mendedahkan skandal sempadan, harap kali ini SPRM dan KDN mencuci bersih kotoran ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya dengan tegas memberi jaminan: “SPRM kini dalam penyiasatan bagi membanteras amalan rasuah secara terbuka.

“Kami sudah menyerahkan video klip video kepada ketua polis negara dan akan bekerjasama untuk mengambil tindakan sewajarnya.

Kenyataan Latheefa disambut Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

“PDRM komited untuk membanteras segala bentuk aktiviti penyeludupan barang khususnya di sempadan negara. Apa pendekatan digunakan kami tidak boleh dedahkan,” katanya.

Sebagai wartawan yang sudah dua dekad melihat pembabitan pihak keselamatan dalam jenayah sempadan negara, saya akhiri pantun ini. Harap-harap fahamlah sindirannya.

Pagar dipunggah hutan dijarah,

Orang keparat bijak berdagang,

Bukti sudah janji pun sudah,

Jangan ibarat lidah bercabang. – 23 Oktober, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen