Papagomo didakwa hasut dan fitnah Agong


Blogger dan aktivis pembangkang Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa hari ini kerana membuat kenyataan berbaur hasutan dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Mei, 2024.

BLOGGER dan aktivis pembangkang Wan Muhammad Azri Wan Deris didakwa hari ini kerana membuat kenyataan berbaur hasutan dan memfitnah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Wan Muhammad atau lebih dikenali sebagai Papagomo mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan Wan Azri didakwa membuat hantaran berunsur hasutan di akaun X miliknya pada 29 April lalu.

Kesalahan itu adalah di bawah Perenggan 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kenyataan berbaur hasutan dan fitnah beliau didakwa terkandung dalam klip video berdurasi dua minit dan 46 saat yang memaparkan Papagomo didakwa mempersoalkan tindakan Agong bertemu pemilik kedai serbaneka KK Mart di Istana Negara berhubung isu stokin tertera kalimah “Allah”.

Wan Azri di dalam video itu turut dikatakan mendakwa baginda mengarahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard dituduh di mahkamah mengikut Akta Hasutan 1948. – 2 Mei, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen