Politik 'kelaparan rakyat' jawapan PRK Tanjung Piai


Zainal Rashid Ahmad

NARATIF Pakatan Harapan (PH) berdepan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bermula dengan kempen menyalahkan Barisan Nasional (BN). Malah, membayangkan ada gerakan berkos besar dijalankan jentera media sosial BN untuk menyebar fitnah dan berita palsu terhadap PH.

Penasihat DAP Lim Kit Siang memulakan rali kempen dengan nada cemas dan prejudis. Sekali gus dengan anggapan, pengundi Tanjung Piai perlu dicelikkan dalam tempoh 14 hari.

“PH ada masa dua minggu untuk menjadikan pengundi Tanjung Piai “paling celik media” dan mampu mengenal pasti pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian di media sosial dan aplikasi WhatsApp,” katanya melalui kenyataan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri sangat bimbang, pengundi Tanjung Piai dihujani “terlampau banyak” pembohongan, berita palsu dan ucapan kebencian.

Katanya, ini termasuk dakwaan PH gagal menunaikan janji dalam manifesto PRU14 setelah 18 bulan berkuasa.

Servis panik Kit Siang disambut Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub dengan sindiran tajam kepada mantan perdana menteri Najib Razak.

Kritikan Najib mengenai pengumuman pelbagai projek kerajaan menjelang PRK Tanjung Piai dibalas menteri pertanian dan industri asas tani itu secara sinis.

“Kita tabur kepada penduduk Tanjung Piai, bukan masuk poket sendiri,” bidasnya.

Salahuddin mengungkit laporan perbicaraan Najib di mahkamah. Mengingatkan pengundi, saksi perbicaraan mendedahkan pelbagai penyelewengan dan kecurian dana negara.

“Hampir satu bulan akhbar melaporkan Najib berkomunikasi dengan Jho Low dan bagaimana pegawainya diarah melakukan penyelewengan,” katanya dalam ceramah PH di Penerok.

Salahuddin turut mempertahankan peruntukkan RM3 juta yang diluluskan kementeriannya. Projek itu bukan gula-gula PRK. Ia bertujuan menaik taraf tiga jeti nelayan.

Sebelum itu, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengumumkan RM4 juta diluluskan untuk menaik taraf kemudahan sukan dan rekreasi Tanjung Piai.

Politik butang panik

BN terperangkap dalam politik butang panik sejak PRU12 pada 2008. Politik perkauman sempit bermula di situ dan seterusnya menjerumuskan Malaysia dalam dilema pertelagahan kaum yang terus memburuk.

Pada PRU13 (2013) BN melalui trup sibernya mendedahkan dakwaan kewujudan Read Bean Army dan gerakan Kristianisasi dalam DAP. Malah, membayangkan juga wujud tentera siber ala komunis milik DAP di platform media sosial.

BN berusaha menakutkan pengundi Melayu Islam dengan persepsi DAP mewujudkan gerakan Cina untuk Cina. Malah, ingin menguasai negara dengan agenda politik anti Melayu dan Islam.

Namun, hasil kempen-kempen perkauman ini tidak laku. Walaupun menang PRU13, Najib yang mengetuai gerakan kempen perkauman BN gagal meyakinkan anak muda. Pengundi generasi baharu menolak politik perkauman.

Najib gagal menambah kerusi BN di parlimen dan meletakkan prestasi pimpinannya lebih teruk berbanding era Abdullah Ahmad Badawi mengetuai jentera BN pada PRU12.

Ketika PRU12, BN menang 144 kerusi. Sekali gus hilang penguasaan dua pertiga di parlimen. Lima tahun kemudian, politik perkauman tajaan Najib terus terhukum. Idea Red Bean Army dan Kristianisasi, menyebabkan BN hanya menang 133 kerusi.

Artikel ini hanya mengingatkan: politik kaum tidak lagi relevan. Ahli politik memang taasub pada modal perkauman. Kononnya, setiap kali bercakap soal kaum, haba politik akan menyala. Undi akan bertambah.

Realitinya, BN tumbang sebenarnya kerana isu “politik perut” berasaskan ekonomi. Politik “derita rakyat” yang sebenarnya mengubah negara pada 9 Mei, 2018.

Najib dan BN ditendang keluar pada PRU 14 kerana undi “politik perut”. Isu kleptokrasi dan skandal 1MDB hanya alasan akademik. BN sebenarnya tumbang kerana rakyat hidup susah pada era Najib.

Kini, selepas 18 bulan PH berkuasa pun, rakyat tetap hidup susah. Ini isu utama yang mesti ditangani PH. Misi memomokkan agenda ketakutan kaum, atau menyindir Najib tidak lagi relevan.

Kalau Najib bersalah, mahkamah akan menghantarnya ke penjara. Kalau terlepas dunia, akhirat masih ada. Mengungkit soal Najib dan menakutkan pengundi dengan isu kaum, bukan jalan keluar bagi menangani masalah sebenar PH.

Selain modal kempen di PRK Tanjung Piai, setiap penjelasan PH kepada pengundi turut menjadi perhatian umum. Seluruh rakyat Malaysia mengikutinya sebagai isu nasional.

Soalan rakyat

Mereka ingin tahu: mengapa kemelut ekonomi berterusan dan Manifesto PH gagal dilaksanakan? Mengapa peneroka perlu bersyukur walaupun harga sawit kekal merudum?

Mengapa laut perlu ditambak di Pulau Pinang bagi projek RM46 bilion kalau risikonya memusnahkan kehidupan 4,000 nelayan?

Mengapa Khazanah perlu menjual lebuh raya PLUS kepada pihak swasta hanya kerana beban hutang RM30 bilion?

Setelah dijual, apakah tol kekal? Kalau kekal, apa relevan janji memansuhkan tol dalam Manifesto PH, sekiranya ia berubah menjadi pakej penswastaan 100%?

Rakyat bingung dan bercelaru kerana wujud teka-teki. Pandangan bisnes antara pengendali GLC dan pendapat kerajaan sangat kontras.

PH sedang berdepan kemelut defisit keyakinan kerana dianggap gagal melaksanakan dasar-dasar utama mengendalikan impak kos sara hidup yang dijanjikan dalam manifesto PRU lalu.

Justeru, Tanjung Piai dianggap medan nasional. Membangkitkan isu PAS menyokong calon MCA, atau merepek semula soal RUU 355 tidak relevan. Rakyat sedang menanti penjelasan terperinci mengenai hala tuju PH merubah negara. Sekali gus menyelesaikan kemelut “kelaparan rakyat”.

Menyalahkan Najib menjadikan pengundi Tanjung Piai berasa mual. Sebab Najib sudah sejuta kali dipersalahkan.

Jawablah dengan logik dan relevan tiap isu yang menjadi masalah pokok pentadbiran PH hari ini. Nyatakan usaha kerajaan untuk menyelesaikan kemelut ekonomi dan pembaharuan institusi serta pemansuhan undang-undang drakonian.

Isu perkauman dan menyalahkan Najib, akan menjadikan PH dilihat hilang fokus dan modal. Apa lagi berdepan jentera BN yang pasti menyerang PH berdasarkan prestasi ekonomi. Realitinya, isu kos sara hidup terus menekan rakyat.

Marilah kita menuju politik dengan memahami “kelaparan rakyat”. Bukan menghasut rakyat menerima “kerakusan perkauman”.

Soal BN, mereka pembangkang. Mereka akan mengulangi semula senario PH ketika belum menjadi kerajaan. – 6 November, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen