3 kisah miskin bandar


Zainal Rashid Ahmad

BEKERJA sebagai penyapu sampah dengan gaji RM34.40 darab 26 hari bekerja – jumlahnya RM894 sebulan.

Sembilan jam bekerja dan sekiranya gagal hadir, gaji akan ditolak. Tiada cuti tahun, tiada cuti sakit atau sebarang manfaat perkhidmatan. Hanya kerja, kerja dan kerja.

Pada usia lewat 60-an, hanya itu peluang pekerjaan yang ada. Sekali pun jelas wujud manipulasi terhadap gaji minimum RM1,100.

“Kami tak berani pertikai, takut dibuang kerja,” kata Itam Ismail.

Pada usia 66 tahun, Itam tiada pilihan. Pada 2014, dia ditamatkan kerja sebagai pengawal keselamatan kerana faktor umur melebihi 60 tahun. Sejak itu, peluang kerja yang ada hanya sebagai penyapu sampah.

“Saya pernah bertanya soal gaji, tapi majikan kata, kalau tak puas hati boleh berhenti,” katanya.

Itam ditemui di Projek Perumahan Rakyat Intan Baiduri, Kepong. Seorang antara 26,000 penghuni yang disenaraikan sebagai gagal menjelaskan tunggakan sewa rumah kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Dengan gaji sebanyak ini, saya kena utamakan makan minum anak-anak dan isteri. Memang sukar untuk membayar sewa,” katanya.

Matanya bergenang apabila ditanyakan sama ada keluarganya mampu makan tiga kali sehari atau pernah tidak makan seharian.

“Susah nak cerita… nanti orang kata jual maruah keluarga untuk dapat simpati. Saya harap muka saya tidak keluar TV,” katanya sebak.

Temubual terhenti sebentar. Itam memerlukan masa menenangkan perasaan. Soalan yang ditanya membabitkan maruahnya sebagai suami dan bapa kepada sembilan anak.

“Begini…. saya sediakan beras dan ikan masin. Apa jadi pun kalau tak ada duit, anak isteri boleh makan. Cuma, kalau nak makan daging, sebulan sekali pun belum tentu saya mampu belikan,” katanya.

Kes Itam bukan fiksyen urban. Ini pengakuan yang dirakamkan dengan persetujuan lisan. Kenyataannya akan didatakan bagi tujuan kaji selidik krisis miskin bandar.

Selain isu kemampuan menyediakan makanan keluarga, Itam diburu ketakutan setiap kali menjelang Disember.

“Anak sekolah, itu keutamaan sekarang. Tahun ini saya benar-benar ketakutan. Bantuan pakaian sekolah kena dimohon secara komputer (online). Saya mana reti,” katanya.

Empat anaknya masih bersekolah. Tanpa bonus tahunan dan tanpa tabungan, kos pakaian sekolah anaknya bergantung penuh pada bantuan kerajaan.

Wajah Itam nampak lesu kerana baru habis kerja. Sesi temubual pula sangat menyukarkan kerana didesak bercerita tanpa menyembunyikan realiti sebenar kehidupannya.

Pada usia emas, Itam kelihatan buntu dan hilang arah dalam menangani masalah kemiskinan keluarga.

Ditambah lagi, ketika wawancara, Itam baru habis bekerja dari 8 pagi hingga 5 petang. Bertugas menyapu sampah di enam blok kawasan perumahan 17 tingkat, satu tugas yang meletihkan bagi seorang warga tua.

“Dulu senang nak dapatkan bantuan baju sekolah. Saya hanya perlu bawa baucar dan tukar saja di bawah Dataran Merdeka,” katanya.

Sebagai warga tua miskin, Itam tidak pernah memiliki komputer dan tidak mampu memiliki telefon bimbit. Arahan mengisi permohonan bantuan pakaian sekolah secara atas talian terasa sangat membebankan.

“Ada masa banyak peraturan membantu orang miskin dibuat dengan cara orang kaya,” kata Itam yang sudah 11 tahun menyewa PPR.

Itam mempunyai sembilan anak dan empat masih bersekolah. Selain gajinya sebagai penyapu sampah, isterinya mencari rezeki dengan menjual nasi lemak.

“Campur gaji saya dan duit isteri pun tak cukup. Ada masa kami berhutang dengan jiran untuk membeli makanan,” katanya.

Makan apa saja yang ada

Abdul Razak Baharum, melahirkan rasa kecewa kerana isu gaji minimum tidak dilaksanakan walaupun bayaran RM1,100 sudah diputuskan sebagai undang-undang.

Bekas pemandu lori ini ditamatkan kerja lima tahun lalu kerana faktor umur. Pada usia 68 tahun, pilihan kerja sangat terhad. Razak juga memilih kerja sebagai tukang sapu sampah.

“Ada masa kami tidak makan. Saya tak malu mengaku. Gaji tak sampai RM900, ada kala kami sekeluarga mengharapkan simpati jiran,” kata Razak.

Walaupun hanya menanggung seorang anak yang bersekolah, beban kewangan tetap terasa. Pada usia emas, Razak tidak selalu sihat.

“Kalau sakit, saya berdepan dua masalah. Pertama, kos ke hospital dan bayaran perubatan. Lagi besar masalah, gaji kena potong,” katanya.

Razak mengaku, selama sembilan tahun mendiami PPR, dia tidak pernah dilawati mana-mana pihak. Sama ada pegawai kebajikan mahupun pihak zakat.

“Saya pun bukan tahu, di mana nak rayu bantuan,” katanya.

Bertarung maut setelah bantuan zakat dihentikan

Rakannya, Razak Lebai Naib nampak gugup ketika kamera dan perakam audio dihalakan ke arahnya. Orangnya kurus dan nampak bernafas termengah-mengah.

“Saya ada asma kronik. Saya tak mampu beli inhaler bulan ini kerana tidak bekerja. Selalu anak belikan, cuma ada masa anak pun tak mampu sebab dia sendiri menanggung enam anaknya,” katanya.

Pada usia 72 tahun, bekas pekerja rencam itu kini menumpang di rumah anaknya. Wahab tidak mampu bekerja sejak empat tahun lalu kerana penyakit asmanya semakin kronik.

“Ada masa saya hampir mati sesak nafas. Sedih memikirkan terpaksa menderita sepanjang malam kerana tak ada duit RM18 untuk membeli inhaler,” katanya.

Ditanya mengenai bantuan zakat dan kebajikan, Wahab menggelengkan kepala dan wajahnya nampak kesal.

“Saya mohon dan dapat zakat pada 2016. Tetapi setahun saja kerana pada tahun berikutnya permohonan ditolak. Alasan, saya tinggal dengan anak,” katanya.

Kami mohon penjelasan lebih terperinci.

“Saya tidak layak kerana anak saya juga menerima zakat. Syarat zakat, dalam satu rumah yang sama, hanya seorang pemohon saja yang layak,” jelas Wahab dengan wajah kesal.

Menurutnya, keputusan pegawai zakat sukar diterima. Malah, keputusan itu anggap tidak munasabah.

“Anak saya memiliki enam tanggungan, takkan RM300 sebulan dikira cukup untuk menanggung kos perubatan saya sebagai bapa?”

Persoalan ini satu pertikaian bagi Wahab. Dia sudah merayu, namun tetap gagal mendapatkan bantuan zakat pada tahun ini.

Sekali pun mengemukakan rekod kesihatan, permohonannya tetap ditolak. Sejak tiga tahun lalu, Wahab langsung tidak menerima sebarang bantuan kebajikan.

“Saya menyeru pegawai zakat lebih bertimbang rasa. Mustahil RM300 sebulan cukup untuk seorang penerima menyara enam anak dan menjaga kesihatan bapa yang mengidap sakit kronik,” katanya.

Ini tiga kisah daripada puluhan survei yang dibuat. Semua rakaman dan data kajian ini akan dibentangkan pada Seminar Tertutup Miskin Bandar anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan pada 5 Disember nanti.

Harapan besar survey ini penting bagi mempengaruhi 100 penjawat awam, aktivis sosial dan pemimpin masyarakat menilai semula isu berkaitan miskin bandar.

Kita sedang menuju Wawasan Kemakmuran Bersama. Kemiskinan dan layanan terhadap Itam, Razak dan Wahab masih bersifat penindasan.

Isu pelaksanaan gaji minimum dan pengabaian bantuan zakat dan kebajikan masih membelenggu warga emas miskin bandar. – 20 November, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen