Menerima realiti krisis miskin bandar


Zainal Rashid Ahmad

Sekarang tiba masa rakyat bersikap realistik walaupun ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan wakil PBB Dr Philip Alston, bahawa kadar kemiskinan di negara mencapai 20%. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2019.

SUDAH sampai masanya Malaysia tidak lagi bersembunyi di balik angka lapuk mengenai fakta kemiskinan di negara ini.

Data 0.4% kadar kemiskinan sudah boleh dianggap jenaka. Sekali pun bukan fakta sesuai dijadikan bahan ketawa.

Sekarang tiba masa kita bersikap realistik. Sekali pun ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan wakil Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Dr Philip Alston, bahawa kadar kemiskinan di negara mencapai 20%.

Realisitik tangani isu miskin bandar

Pada 5 Disember depan, hampir 100 peserta di kalangan penjawat awam kanan mewakili pelbagai kementerian, aktivis sosial, pihak swasta dan pemimpin masyarakat akan hadir mendengar pembentangan mengenai isu miskin bandar.

Ini seminar tertutup anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bagi membentuk Pasukan Petugas Khas. Fungsinya kelak, merangka Pelan Induk Membasmi Kemiskinan Bandar.

Empat panel akan membentangkan model dan idea serta dapatan terkini hasil kajian berkaitan isu miskin bandar terutama di kalangan penghuni Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Penjawat kanan pelbagai kementerian terutama KWP berpeluang mendengar ‘first hand information’ bagi mendapatkan input tambahan dalam merangka dasar dan pelaksanaan polisi.

Isu miskin bandar Kuala Lumpur sudah lama kritikal. Namun, tiada model penyelesaian konkrit pernah dilaksanakan sebagai pelan jangka panjang menangani isu ini.

KWP melaksanakan seminar ini sebagai langkah pemula ke arah merealisasikan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB 2030).

Pada 5 Mac lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, membentangkan di Parlimen data terkini mengenai isu kemiskinan di negara ini.

Menurut ICU, sehingga 28 Februari 2019, terdapat 190,534 keluarga miskin di negara ini.

Berdasarkan taklimat pada Kaukus Parlimen, angka 190,534 itu terbahagi kepada dua kelompok utama. Pecahannya, 134,553 keluarga dikategori sebagai miskin dan 55,981 berstatus miskin tegar.

Secara demografi, 107,114 (56%) keluarga miskin berada di bandar dan 83,420 (42%) di luar bandar.

Miskin tegar PPR dan gelandangan

Sebagai panel mewakili aktivis Laskar4Life, saya akan menumpukan pembentangan pada latar kehidupan 2,000 gelandangan sekitar ibu kota.

Keutamaan kedua ialah paparan visual wawancara isi rumah mewakili 26 ribu penyewa PPR yang diklasifikasikan sebagai miskin tegar.

Selain itu, pembentangan akan turut menyentuh nasib 60 ribu warga miskin Kuala Lumpur yang gagal mendapatkan rumah PPR.

Pada masa ini, DBKL menyediakan 46 ribu unit rumah sewa di 17 Projek PPR di Lima Zon Wilayah Persekutuan. Kadar sewa pula RM124 sebulan.

Data 26 ribu (57%) miskin tegar PPR disukat berdasarkan jumlah penghuni yang gagal membayar sewa antara 10 bulan hingga lapan tahun. Secara keseluruhan semua penyewa ini mempunyai hutang tertunggak berjumlah RM58 juta.

Melihat semula laporan UNICEF

Angka klasifikasi 57% isi rumah miskin tegar PPR ini turut diperkukuhkan lagi dengan pertindihan data yang diumumkan UNICEF pada Februari 2018.

Menurut kajian itu, 30% kanak-kanak PPR gagal mendapatkan akses nutrisi mencukupi. Mudahnya, lebih 15,300 keluarga PPR gagal menyediakan makanan tiga kali sehari kepada anak-anak.

Kaji selidik UNICEF turut mendapati 22% kanak-kanak bawah umur 5 tahun mengalami pertumbuhan terbantut. Manakala 15% mengalami masalah kurang berat badan.

Kaji selidik UNICEF turut menyarankan tiga tindakan utama sebagai langkah melindungi krisis nutrisi kanak-kanak.

1. Menyediakan elaun penjagaan makanan kanak-kanak miskin.

2. Memastikan bayi mendapat susu ibu bagi tempoh minimum 6 bulan.

3. Mengkaji semula Angka Garis Kemiskinan (PLI) dengan menggunakan pelbagai petunjuk tambahan termasuk tahap pemakanan kanak-kanak.

Gagal dapatkan rumah PPR

Kita tiada data mengenai status kehidupan 60 ribu pemohon yang gagal mendapatkan rumah PPR.

Semua pemohon ini berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan tetapi gagal mendapatkan rumah PPR kerana keterbatasan unit sedia ada.

Persoalannya, dengan kadar minimum sewa rumah di Kuala Lumpur antara RM500 hingga RM600 sebulan, apakah impak ekonomi terhadap 60 ribu keluarga ini?

Sewa PPR pada masa ini hanya RM124 sebulan. Itu pun, 57% penyewa berhutang pada DBKL kerana tidak mampu menjelaskan tunggakan.

Bagi 60 ribu pemohon yang gagal, serta memiliki status ekonomi yang sama, pasti beban sewa komersil sangat menekan kewangan bulanan.

Krisis global

Menurut data Homeless World Group Foundation (HWGF), 100 juta manusia menjadi gelandangan di seluruh dunia. Ini data 2005. Manakala data 2015 mendedahkan, 1.6 bilion penduduk dunia tinggal di kediaman daif.

Di Amerika Syarikat (AS), terdapat 537,000 gelandangan. Lebih mengejutkan terdapat 18.5 juta pendudukan negara paling maju ini, ditakrifkan sebagai miskin tegar.

Malah, kajian PBB turut menyeraikan menerima hakikat, 40 juta daripada 327 juta penduduk AS berada di bawah garis kemiskinan.

Menurut data HWGF, Australia memiliki 116,427 gelandangan pada 2016. Angka ini meningkat 14% berbanding data 2011. Ertinya, purata peningkatan hampir 3% setahun.

Negara pendapatan tinggi dan kelihatan mewah seperti Hong Kong turut memiliki fakta mengejutkan. Terdapat lebih 200 ribu penduduknya hidup tanpa memiliki kediaman sempurna.

Berdasarkan populasi 7.5 juta, jumlah ini sangat mengejutkan bagi pulau yang dianggap ikon kewangan Asia.

Malah, kajian turut membuktikan wujud percanggahan angka antara rekod kerajaan dan data NGO. Pada 2007, data rasmi kerajaan Hong Kong mencatatkan 874 individu hidup sebagai gelandangan.

Sebaliknya, data aktivis menemukan angka lebih tinggi iaitu 1,614 orang. Lebih membimbangkan jumlah gelandangan di Hong Kong meningkat 14% antara 2016 ke 2017.

Di India, anggaran gelandangan mencapai 1.8 juta orang dengan 52% hidup melarat di kawasan urban.

Manakala 73 juta penduduk India gagal memiliki rumah dan tinggal di gubuk setinggan yang daif tanpa akses bekalan air bersih. (Rujuk suasana petempatan miskin dalam filem ‘Slumdog Milionaire’.)

Manila paling menakutkan. Kota besar ini memiliki 3 juta gelandangan berbanding hampir 14 juta penduduknya. Secara total, HWGF merekodkan 4.5 juta daripada 107 juta penduduk Filipina hidup tanpa rumah.

Korea Selatan paling telus dalam mengakui hakikat kemiskinan di negara itu. Pada 2017, Seoul mendatakan lebih 11,000 penduduknya adalah gelandangan dengan 1,520 orang merempat di jalanan.

Lebih dinamik lagi, sekali pun berstatus negara pendapatan tinggi, Seoul memiliki 7.2 juta atau lebih 14% rakyatnya hidup di bawah garis kemiskinan.

Dari jumlah itu, 45% penduduk miskin ialah warga tua 65 tahun keatas.

England antara negara maju yang turut berdepan krisis gelandangan yang teruk. Data 2017 menunjukkan 59,110 gelandangan hidup di jalanan kota-kota utama.

Angka itu meningkat 9% berbanding 2015. Berdasarkan bukti peningkatan 4.5% setahun, krisis gelandangan bukan isu yang mudah ditangani sekali pun di negara maju.

Namun, Malaysia tidak boleh berlindung dengan alasan semudah itu. WKB 2030 tidak akan bererti sekiranya krisis miskin bandar berterusan.

Apa lagi, kalau peratusannya dibiarkan melonjak tanpa kawalan tahun ke tahun. β€“ 17 November, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen