Idea petani kontan bantu miskin bandar


Zainal Rashid Ahmad

PADA Khamis 5 Disember, 16 pembentang kertas kerja dan kajian dapatan data akan bertemu bagi menyatukan pelbagai pandangan.

Motifnya ke arah menyediakan Pelan Induk Menangani Krisis Miskin Bandar.

Pembentangan akan disertai lebih 100 peserta di kalangan penjawat awam kanan yang mewakili pelbagai kementerian, aktivis sosial, pihak swasta dan tokoh masyarakat.

Kehadiran peserta ini penting kerana semua idea dan data pembentangan akan dikupas dalam sesi soal jawab yang dikendalikan wartawan senior, Ahmad Talib.

Seminar ini disegmenkan dalam empat sesi. Setiap topik akan melibatkan empat panel. Sesi 10 pagi akan bermula dengan pembentangan mengenai perkhidmatan awam.

Diikuti sesi aktivis NGO pada 11 pagi. Sesi diteruskan pada 2 petang dengan pembentangan panel akademik. Sesi akhir akan memfokuskan pandangan tokoh masyarakat.

Seminar ini dianjurkan Yayasan Salam dan Yayasan Wilayah Persekutuan. Fokusnya mendapatkan input pelbagai pihak bagi menyediakan model komprehensif untuk membantu pelan meningkatkan kualiti hidup warga miskin bandar.

Walaupun fokusnya mengenai warga kota, data dan dapatan kajian yang dibentang dalam empat sesi utama ini pasti akan merentas isu kemiskinan nasional termasuk Sabah dan Sarawak.

Persoalan paling besar tentunya desakan supaya kerajaan mengkaji semula Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). Angka RM980 sebulan yang diguna pakai sejak 50 tahun lalu dianggap sudah tidak relevan lagi.

Pastinya banyak pandangan kritis akan dikemukakan panel dan peserta. Termasuk fakta 10% penduduk negara ini, kini berpendapatan di bawah RM2,000 sebulan.

Sekiranya angka lapuk PGK dikekalkan, apakah relevan dalam keadaan ekonomi sekarang kita masih berpegang pada angka kemiskinan di negara ini hanya 0.4%?

Tentunya pembentang akademik akan mengemukakan data Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pelapor Khasnya, Philip Alston mendakwa kadar kemiskinan di negara ini mencecah 20%.

Bagi aktivis NGO yang lebih banyak berada di lapangan, isu akses makanan, pendidikan dan implikasi sosial akan jadi tumpuan.

Selain data UNESCO pada Februari 2018 yang mendedahkan 30% kanak-kanak miskin bandar menderita krisis kekurangan nutrisi.

Data kajian kemiskinan PPR

Seminar akan turut meneliti kaji selidik pada Oktober lalu dijalankan NGO Laskar4Life.

Data awal menunjukkan, majoriti 26,000 penyewa yang tertunggak sewa rumah PPR berpendapatan bawah RM1,500.

Sekiranya angka ini kekal sebagai realiti berterusan, mustahil hutang tunggakan lebih RM58 juta dapat dikutip. Malah, pasti akan meningkat tahun ke tahun.

Sekiranya, angka PGK dinaikkan dan realiti kemiskinan di negara ini mencapai 10% atau 20%, apakah tindakannya?

Mengubah angka tanpa mampu mengubah realiti tidak ada gunanya. Di Kuala Lumpur, 26,000 penyewa PPR berhutang antara setahun hingga 10 tahun sewa rumah.

Selain berhutang, 26,000 warga miskin PPR juga gagal mendapatkan akses makanan sihat. Malah ada isi rumah tidak mampu mendapatkan makanan tiga kali sehari.

Ketika L4L mengumpulkan data bagi pembentangan seminar ini, sembilan keluarga yang ditemuduga berpendapatan di bawah RM1,000.

Malah, terdapat ramai warga tua masih menyewa PPR ketika berusia 62 hingga 69 tahun.

“Dengan peluang pekerjaan terbatas, kami hanya mampu menjadi tukang sapu dengan gaji di bawah RM1,100. Itu pun tanpa cuti tahun dan cuti sakit,” kata Itam Ismail.

Pada usia 66 tahun, Itam menyara enam anaknya dan empat masih bersekolah.

“Saya dahulukan gaji untuk makanan dan persekolahan anak-anak. Itu antara punca sewa rumah sentiasa tertunggak,” katanya.

Itam antara sembilan responden yang dijadikan kes kajian mengenai dilema miskin bandar tegar. Satu senario utama kegagalan penghuni PPR menjelaskan tunggakan sewa.

Sekali pun PGK dinaikkan ke paras RM2,000 sebulan, Itam tetap terperangkap dalam krisis had pendapatan bulanan yang tepu.

Malah, realiti ini juga krisis ratusan ribu miskin bandar yang sebenarnya berpendapatan di bawah RM1,500 sebulan.

Idea reformasi petani bandar

Sahabat Tani Malaysia, kumpulan aktivis peneroka pertanian di pinggir bandar, menyarankan idea menarik.

Sekiranya, pekerjaan sedia ada menjadikan ribuan penyewa PPR gagal keluar daripada ketepuan pendapatan, bidang pertanian adalah model yang perlu diteroka.

Adlin Aman Ramli berkata sekiranya Kementerian Wilayah Persekutuan dapat bekerjasama dengan Kerajaan Selangor, konsep petani bandar boleh diwujudkan.

“Kami memulakan projek kecil di Bukit Jelutong dengan tanaman kontan. Hasil bulanan secara purata RM1,200 seekar. Sekiranya, warga miskin bandar diberikan dua ekar tanah dalam projek berkelompok pertanian kontan, ia menjana RM2,400 sebulan.”

Idea petani bandar antara mekanisme yang wajar diberikan perhatian. Banyak tanah terbiar di sempadan Kuala Lumpur dan Selangor boleh diteroka dan dijadikan sumber rezeki baharu.

“Bukan saja untuk kebaikan warga miskin bandar, tetapi tanaman kontan membantu mengurangkan beban import sayur negara,” katanya.

Pastinya banyak idea dan dapatan akan dibentang pada seminar sehari yang dirasmikan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad.

Kita berharap, seminar ini bukan sekadar himpunan data dan dapatan, tetapi benar-benar menjadi titik penggerak bersifat fizikal bagi menangani krisis miskin bandar.

Setakat bercakap, kita sudah bertahun-tahun bercakap. Apa yang kurang ialah kemahuan untuk melaksanakan idea-idea baharu. – 4 Disember, 2019.

* Zainal Rashid Ahmad ialah wartawan dan penulis sastera yang telah menghasilkan antaranya novel Hikayat Tanah Jauh (2015) dan kumpulan cerpen al-Kisah (2012), Yang Tercinta (2012), Empunya Hikayat (2014), Magis Kota (2016), Pop Urban (2017), dan kumpulan puisi Sepi Itu Mati (2016) dan Orang Sepi Pergi ke Gurun (2018). Beliau memenangi 38 hadiah sastera.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen