Hantu komunis masih berkeliaran


Mustafa K. Anuar

Chin Peng, sosok kontroversi sehinggakan abu mayatnya cetus kontroversi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Disember, 2019.

ADA jenaka yang bersebaran di media sosial dengan beberapa perubahan dan kelainan, ketika kemuncak kontroversi Chin Peng: orang atau pihak yang paling digeruni di Iraq ialah Abu Bakr al-Baghdadi; di Indonesia, Abu Bakar Basy’ir; di Filipina, Abu Sayyaf; dan di Malaysia, Abu Chin Peng.

Sikap acuh tak acuh ini mungkin tidak sesuai dalam isu yang dianggap serius seperti abu mayat bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya yang dibawa pulang ke Malaysia.

Namun ia secara tidak langsung menggambarkan sikap sinikal rakyat yang kritikal terhadap sesetengah pihak yang keras menentang pemulangan abu mayat itu.

Ia juga reaksi mempersendakan pihak – terutamanya ahli politik yang terdesak menangguk untung – yang mendakwa bahawa pemulangan abu mayat itu ke Malaysia suatu usaha untuk menghidupkan semula fahaman komunis di negara ini.

Sensitiviti sesetengah pihak ini dikatakan terganggu selepas kawan-kawan Chin Peng dari Parti Komunis Malaysia (PKM) yang diharamkan mengadakan sidang media baru-baru ini.

Mereka mengumumkan abu mayatnya sudah dibawa balik ke Malaysia pada 16 September dan ditabur di laut dekat Lumut dan di hutan di Banjaran Titiwangsa.

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua lahir di Sitiawan, Perak dan meninggal dunia di Bangkok pada 2013. Umurnya 89 tahun.

Kenyataannya, banyak rakyat Malaysia terutamanya anggota tentera dan polis yang jadi mangsa kekejaman komunis semasa pemberontakan kumpulan itu antara 1968 dan 1989.

Pada 1989, Perjanjian Damai Hat Yai ditandatangani antara kerajaan Malaysia, kerajaan Thai dan PKM, yang membawa kepada peletakan senjata parti itu.

Maka dapatlah difahami kenapa Chin Peng menjadi sosok PKM yang paling dibenci oleh rakyat Malaysia yang kehilangan orang tersayang semasa konflik bersenjata itu.

Selama ini Chin Peng dan PKM begitu sinonim dengan naratif anti komunis kerana beliau adalah pemimpinnya.

Hubung kait erat antara identiti Chin Peng dan partinya ini menyebabkan hakikat bahawa parti ini juga melibatkan orang Melayu, terpinggir dalam imaginasi sebilangan rakyat Malaysia.

Kembalinya pemimpin Melayu PKM seperti Rashid Maidin dan Shamsiah Fakeh ke Malaysia selepas perjanjian damai membuktikan penglibatan Melayu dalam parti komunis. Chin Peng, seperti yang kita tahu dinafikan hak untuk pulang.

Oleh itu, tidak hairanlah Chin Peng terus menjadi karung tinju walaupun selepas kematiannya dalam suasana politik kaum dan agama yang diketengahkan oleh sesetengah pihak.

Chin Peng menjadi sosok yang sesuai untuk digambarkan sebagai pemimpin Cina PKM dan fahaman komunis yang tidak bertuhan.

Nampaknya hantu pemimpin komunis mengganggu sesetengah rakyat Malaysia walaupun fahaman komunis sudah hilang  tarikan sejak sekian lama, terutamanya di China yang menggalakkan rakyatnya mengumpulkan kekayaan seperti dilakukan oleh pendukung kapitalis.

Dalam usaha terdesak menconteng arang pada kerajaan Pakatan Harapan, sesetengah ahli politik pembangkang menuduhnya membantu menghidupkan semula komunisme dan dengan itu, menyokong perjuangan ganasnya.

Hakikatnya, seperti hitam dan putih, kebanyakan rakyat Malaysia mengecam keganasan. Mereka sangat menjaga kemakmuran, kesejahteraan dan keamanan yang mereka nikmati selama ini.

Rakyat Malaysia yang prihatin juga menentang mereka yang menggunakan kaum dan agama untuk merobek-robek bangsa yang pelbagai kaum dan agama.

Biar apapun, sekiranya membenarnkan abu mayat Chin Peng balik ke Malaysia ditafsirkan sebagai tindakan mendukung komunisme, maka, apakah pula dosa pentadbiran Najib yang menjalin kerjasama ekonomi dengan kerajaan komunis China?

Sebarang usaha untuk mengalih perhatian kita daripada usaha tegas membina negara dan pembaharuan sosial mesti dielakkan. – 3 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen