Hentikan polemik isu abu mayat Chin Peng, kata Anwar


SM Amin

Presiden PKR Anwar Ibrahim bersetuju dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mahu isu abu mayat Chin Peng tidak lagi dihangatkan oleh mana-mana pihak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Disember, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim bersetuju dengan Dr Mahathir Mohamad yang mahu isu abu mayat Chin Peng tidak lagi dihangatkan oleh mana-mana pihak.

Anwar berkata, beliau memahami keresahan yang dihadapi oleh sesetengah pihak ekoran sejarah kekejaman Parti Komunis Malaya (PKM) terhadap anggota keselamatan dan rakyat  negara ini.

Bagaimanapun, beliau juga meminta semua pihak menerima hakikat bahawa kerajaan dan pihak yang berfahaman komunis sudah mencapai perdamaian dan perkara ini tidak wajar terus dijadikan polemik.

“Sekarang ini telah disiasat oleh polis, saya ambil pendirian yang lebih lunak maknanya tahu sejarah, tahu masalah kekejaman, tahu perlawanan, tahu sensitiviti dan tahu perasaan tentera dan polis tetapi juga tahu bahawa kita dah capai perdamaian.

“Tun Razak telah mula berunding dengan Chou En Lai (perdana menteri China) dan Najib ada hubungan baik dengan Parti Komunis China dan kerajaan China, Dr Mahathir teruskan, saya pun jumpa Parti Komunis China.  

“Jadi saya tak fikir soal abu itu harus jadi terlalu hangat, sudahlah,” katanya dalam sidang media di Parlimen bersama Penasihat DAP Lim Kit Siang.

Abu mayat Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua telah dibawa masuk ke Malaysia pada 16 September lalu dan ditabur ke laut berhampiran Lumut, Perak dan di hutan banjaran Titiwangsa tanpa sebarang tugu atau jirat.

Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin dalam satu kenyataan menegaskan kerajaan tidak pernah membenarkan abu mayat Chin Peng dibawa pulang ke Malaysia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad bagaimanapun menyifatkan isu abu mayat Chin Peng yang dibawa pulang ke Malaysia tidak perlu diperbesarkan mana-mana pihak untuk memburukkan kerajaan.

Tujuh individu yang terlibat membawa pulang abu mayat itu kini disiasat polis. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen