Polis soal 7 individu terlibat bawa pulang abu Chin Peng


Alfian Z.M. Tahir SM Amin

Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua, meninggal dunia akibat kanser di Bangkok, Thailand pada 2013. – Gambar EPA, 2 Disember, 2019.

POLIS sudah menyoal tujuh individu berhubung abu mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng, yang dibawa balik ke Malaysia.

Sebanyak 12 laporan polis mengenainya juga dibuat di seluruh negara sejak berita abu mayat itu ditabur oleh sekumpulan individu di negeri kelahiran Chin Peng, Perak pada minggu lalu, kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid

“Setakat ini, tujuh individu sudah disoal sejak minggu lepas. Siasatan masih diteruskan,” kata Mior kepada The Malaysian Insight.

Sekumpulan rakan lama Chin Peng minggu lepas berkata mereka membawa abu mayat dari Thailand pada 16 September lalu dan menaburkannya pada hari yang sama.

Seorang daripadanya, Chai Kan Fook memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak berniat menimbulkan sebarang maalah tetapi sekadar memenuhi hajat Chin Peng.

Chin Peng yang nama sebenarnya Ong Boon Hua, dilahirkan di Perak, meninggal dunia akibat kanser di Bangkok ketika dalam buangan, pada 16 September 2013, kira-kira sebulan sebelum menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-89.

Bekas setiausaha agung KPM itu tidak pernah dibenarkan kembali ke Malaysia meskipun menandatangani Perjanjian Damai Hat Yai pada 2 Disember 1989, yang menamatkan pemberontakan komunis di Malaysia dan Thailand. PKM dibubarkan dengan menandatangani perjanjian itu.

Malaysia menandatangani perjanjian itu, yang membolehkan ahli dan beberapa pemimpin PKM, kembali dengan bersyarat.

Walaupun ahli beberapa bekas pemimpin PKM seperti Shamsiah Fakeh dibenarkan pulang ke Malaysia, Chin Peng tidak dibenarkan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini berkata Chin Peng tidak dibenarkan pulang kerana beliau merupakan ketua PKM.

Bagaimanapun, Dr Mahathir juga menyelar mereka yang mempolitikkan isu bawa pulang abu mayat itu dan berkata Chin Peng tidak lagi mempunyai pengaruh kerana sudah pun mati.

Kerajaan juga menafikan memberi izin membawa pulang abu sebagai respons protes Umno dan PAS.

Di antara beberapa pihak yang menyeru Malaysia menghormati perjanjian ditandatangani itu, bekas ketua polis negara, Abdul Rahim Noor, yang menandatangani Perjanjian Damai Hat Yai bagi pihak Malaysia.

Beliau berkata jika terma perjanjian itu membenarkan Chin Peng kembali dengan syarat beliau tidak cuba menghidupkan semula komunisme, tiada sebab melarang abu pemimpin komunis itu kembali.

Sementara itu, ahli Parlimen Umno Hishammuddin Hussein berkata kemasukan abu Chin Peng melalui sempadan Malaysia adalah perkara serius, kerana ia di luar pengetahuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) secara tidak langsung.

“Jika kementerian tidak tahu bagaimana ia berlaku, maka segala macam perkara boleh berlaku pada masa depan.

Hishammuddin, yang pernah menjadi menteri pertahanan berkata KDN perlu menjelaskan kepada rakyat bagaimana ia tidak dapat mengesan pergerakan abu Chin Peng ke negara ini, mengetahui mendiang adalah sensitif kepada ramai rakyat Malaysia yang kehilangan orang tersayang ketika berjuang menentang komunis.

“Jangan bermain dengan emosi rakyat. Penjelasan perlu diberi supaya tiada tanggapan yang salah,” kata ahli Parlimen Sembrong kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini. – 2 Disember, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen