Abu mayat Chin Peng masuk ikut jalan darat, kata Bukit Aman


Kalidevi Mogan Kumarappa

Chin Peng meninggal dunia akibat kanser di Bangkok ketika dalam buangan pada 16 September 2013. – Gambar EPA, 2 Disember, 2019.

ABU mayat bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dibawa balik ke Malaysia dengan menggunakan jalan darat dari Bangkok, kata polis.

Ia disahkan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mior Faridalathrash Wahid yang menyiasat bekas anggota pasukan itu.

Beliau memberitahu The Malaysian Insight, tiga orang bekas anggota yang disiasat di Perak menyatakan abu mayat itu dibawa masuk melalui pintu sempadan di Pengkalan Hulu, Perak.

“Dari Bangkok mereka ke Betong sebelum masuk ke Malaysia melalui Pengkalan Hulu.

“Pasukan saya menemui mereka pada Jumaat dan selepas memberi keterangan, mereka menunjukkan lokasi abu mayat itu ditabur di Lumut dan Banjaran Titiwangsa,” katanya.

Menurutnya, rakan karib Chin Peng itu memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan kes itu.

Setakat ini, polis sudah menyoal tujuh individu berhubung abu mayat Chin Peng, selepas 12 laporan polis mengenainya dibuat di seluruh negara.

Rakan karib Chin Peng itu pada minggu lalu mendedahkan mereka membawa abu mayat dari Thailand pada 16 September dan menaburkannya ke lokasi berkenaan pada hari yang sama.

Seorang daripadanya, Chai Kan Fook memberitahu The Malaysian Insight mereka tidak berniat menimbulkan sebarang masalah tetapi sekadar memenuhi hajat terakhir Chin Peng.

Chin Peng meninggal dunia akibat kanser di Bangkok ketika dalam buangan pada 16 September 2013, kira-kira sebulan sebelum menyambut hari ulang tahun kelahirannya yang ke-89.

Bekas setiausaha agung KPM itu tidak pernah dibenarkan kembali ke Malaysia meskipun menandatangani Perjanjian Damai Hat Yai pada 2 Disember 1989.

Perjanjian itu menamatkan pemberontakan komunis di Malaysia dan Thailand dan membubarkan PKM.

Ia juga membolehkan ahli dan beberapa pemimpin PKM seperti Shamsiah Fakeh kembali ke tanah air dengan bersyarat.

Chin Peng atau nama sebenaranya Ong Boon Hua itu bagaimanapun tidak dibenarkan kembali ke Malaysia.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini mendedahkan, Chin Peng tidak dibenarkan pulang kerana beliau merupakan ketua PKM.

Bagaimanapun, Dr Mahathir juga menyelar mereka yang mempolitikkan isu bawa pulang abu mayat itu kerana Chin Peng sudahpun mati dan tidak lagi mempunyai pengaruh.

Pada masa sama, kerajaan juga menafikan memberi izin membawa pulang abu mayat tersebut.

Bekas ketua polis negara Abdul Rahim Noor pula menyatakan, tiada sebab untuk menghalang abu mayat Chin Peng pulang ke Malaysia.

Beliau berkata jika terma perjanjian itu membenarkan Chin Peng kembali dengan syarat beliau tidak cuba menghidupkan semula komunisme, tiada sebab melarang abu pemimpin komunis itu kembali. – 2 Disember, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen