Masih ada ahli PAS tidak dapat terima Umno di Kelantan, kata naib presiden


Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah berkata situasi itu agenda perpaduan ummah lambat diterima Kelantan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 September, 2019.

SEBAHAGIAN ahli PAS di Kelantan tidak dapat menerima kerjasama dengan Umno kerana sejarah lama permusuhan antara dua parti itu, kata Naib Presiden PAS Mohd Amar Nik Abdullah.

Keadaan itu menyebabkan agenda penyatuan ummah yang digerakkan oleh dua parti itu lambat diterima di negeri itu, katanya.

Beliau yang juga timbalan menteri besar Kelantan bagaimanapun yakin keadaan akan berubah sebelum pilihan raya umum akan datang.

“Pengalaman dahulu masa PAS masuk Barisan Nasional (BN) memang peringkat awal berlaku penentangan, lama-lama orang sedar dan fahami tujuan, jadi yang sekarang pun kita percaya (sama) berlaku sebab itu kita buat awal sebelum pilihan raya lagi, bagi penyokong Pas dan Umno faham.

“Bagi pimpinan parti, bila kita setuju untuk berbaik maka kita lupakan habis perkara lepas, dan kita harap Umno pun sama, dan dalam isu ini perlu keikhlasan kedua-dua pihak,” katanya, seperti dipetik Utusan Malaysia.

Menurut Amar, apa yang penting, kedua-dua parti mesti ikhlas dalam melaksanakan kerjasama politik ini.

“PAS perlu ikhlas dan Umno perlu ikhlas, insya-Allah akan jadi baik, tetapi kalau masing-masing nak pergunakan satu sama lain akan jadi masalah,” katanya.

Umno dan PAS hari ini akan memeterai piagam kerjasama, yang bakal ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti sebagai acara kemuncak Himpunan Penyatuan Ummah yang bermula semalam di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur.

Malam tadi, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata beliau yakin kerjasama dengan PAS itu akan memboleh kedua-dua parti merampas semula beberapa negeri yang sekarang ditadbir oleh Pakatan Harapan.

“Kalau kita pakat elok-elok, Melaka kita boleh ambil, Negeri Sembilan kita boleh ambil, Perak kita boleh ambil, Kedah kita boleh menang. Kita kekal Perlis, kekal Kelantan, kekal Terengganu dan Pahang. Lapan negeri kita boleh menang. Itu mimpi ngeri mereka. Kalau kita tahu resipinya, Johor pun kita boleh ambil,” katanya.

Sementara itu, diminta mengulas hasil Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) bahawa tahap sokongan PAS di Selangor kini menurun, Amar berkata, pihaknya tidak mempersoalkan keputusan kajian berkenaan namun yakin penerimaan rakyat sebenarnya positif terhadap parti Islam itu.– 14 September, 2019.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen