Kerjasama PAS-Umno untuk pilihan raya umum akan datang


Nabihah Hamid

Piagam Umno-PAS yang akan dimeterai esok menandakan penggabungan kali kedua dua parti itu selepas lebih 40 tahun berpisah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 September, 2019.

UMNO dan PAS akan memeterai perjanjian kerjasama esok, sehari selepas kedua-dua parti merayakan persefahaman dan kesatuan dua parti itu atas nama Melayu dan Islam melalui pelbagai acara di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur, yang menempatkan ibu pejabat Umno.

Piagam Umno-PAS yang akan dimeterai esok menandakan penggabungan kali kedua dua parti itu selepas lebih 40 tahun berpisah.

Kawasan di sekitar PWTC hujung minggu ini meriah dengan bendera hijau-putih PAS dikibarkan seiring dengan bendera merah-putih Umno, sesuatu yang tidak pernah terlihat selama ini.

Ribuan ahli kedua-dua parti dan penyokong mereka pula berhimpun sejak pagi tadi untuk mengikuti pelbagai program sepanjang hari ini.

Program bermula dengan munajat perdana dan wacana oleh Wanita Umno dan Muslimat PAS selain pertandingan nasyid, sembang santai oleh Puteri Umno dan Ameerah PAS.

Manakala pada sebelah petang, bahagian Penerangan Umno menganjurkan ‘Wacana Intelektual Penyatuan Ummah’ sementara dua sayap pemuda kemudian bergandingan pada Himpunan Anak Muda di Dataran PWTC.

Pada sebelah malam pula, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man akan berucap di Ceramah Perdana Penyatuan Ummah di Plaza Merdeka PWTC.

Piagam Umno-PAS merupakan acara kemuncak pada hari Sabtu yang akan ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi.

Kali terakhir Umno dan PAS bekerjasama secara rasmi ialah ketika parti Islam itu menyertai kerajaan campuran selepas Pilihan Raya Umum 1969. 

PAS menyertai gabungan Parti Perikatan pada 1 Januari 1973 dan bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum 1974. Mereka menang 14 kerusi parlimen. 

Namun, penglibatan PAS dalam BN berakhir pada 1978, susulan krisis politik di Kelantan.

Umno dan PAS kembali rapat 

Namun selepas empat dekad, kerjasama Umno dan PAS timbul semula selepas kejatuhan BN pada PRU14.

Ketika Umno dan BN kalah teruk pada PRU14, PAS mengekalkan kuasanya di Kelantan malah berjaya pula merampas Terengganu.

Atas dasar penyatuan ummah, dua parti ini mula bekerjasama dalam beberapa isu melibatkan kepentingan Melayu dan Islam yang mereka namakan ‘taawun siyasi’ atau persefahaman politik.

Kerjasama bermula sewaktu Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis dan Seri Setia. Umno dan PAS duduk semeja. 

Pimpinan tertinggi Pas dan Umno juga sepentas dalam himpunan membantah cadangan kerajaan mahu menandatangani perjanjian hak asasi manusia antarabangsa ICERD di Dataran Merdeka pada Disember tahun lalu yang dihadiri puluhan ribu peserta.

Apa kesan kerjasama Umno dan PAS

Kerjasama Umno dan PAS membuahkan hasil selepas BN menang PRK Dun Semenyih, Parlimen Cameron Highlands dan Dun Rantau.

Kemenangan tersebut menambahkan keyakinan dua parti itu untuk merampas kembali Puttrajaya pada PRU15, dengan sasaran menang sekurang-kurangnya 125 kerusi Parlimen.

Berdasarkan undi popular pada PRU14, kerjasama politik pembangkang itu juga bakal menguasai semua negeri Semenanjung kecuali Pulau Pinang dan Selangor.

Mulai minggu ini, piagam Umno-PAS akan menjadi hitam putih kerjasama yang akan mempersiapkan dua parti itu untuk mencabar Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum akan datang. – 13 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen