Selamat jalan, PAS dan Umno, kata Mat Sabu


Diyana Ibrahim

Menurut Presiden Amanah Mohamad Sabu, parti itu tidak menerima sebarang jemputan menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah pada esok dan lusa, seperti yang didakwa Umno dan PAS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 September, 2019.

PRESIDEN Amanah Mohamad Sabu memberi ucap selamat kepada PAS dan Umno yang akan menjalin kerjasama secara rasmi mulai Sabtu ini.

“Saya restulah (kerjasama). Selamat jalan, Pas dan Umno,” kata Mohamad yang juga bekas timbalan presiden PAS, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata demikian kepada wartawan selepas menghadiri tayangan filem Suatu Ketika di Kuala Lumpur.

Menurut Mohamad, Amanah tidak menerima sebarang jemputan menghadiri Himpunan Penyatuan Ummah pada esok dan lusa, seperti yang didakwa Umno dan PAS.

Namun katanya, kalau ada jemputan sekalipun, Amanah tidak akan hadir.

“Tidak ada (jemputan), setakat yang saya tahu hari ini. Saya ke pejabat Amanah dan Mindef, saya tak tahu terima (jemputan) atau tidak.

“Kalau dijemput pun tidak akan pergi,” katanya.

Awal hari ini, Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata perhimpunan di Pusat Dagangan Dunia Putra esok dan lusa bersifat nasional dan tidak mengenepikan kaum lain.

Ia juga bukan terhad untuk Umno dan PAS sebaliknya terbuka dan dipanjangkan jemputannya kepada parti politik lain.

Kata Annuar, sekretariat perhimpunan telah menghantar jemputan kepada 30 parti politik di Malaysia, termasuk Pakatan Harapan.

Selepas bekerjasama dan menang tiga pilihan raya kecil berturut-turut, Umno dan PAS memutuskan untuk bergabung menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Kedua-dua parti itu dijadual menandatangani piagam kerjasama politik pada Sabtu ini, dua hari sebelum sambutan Hari Malaysia ke-56. 

Pada Julai lalu, Mohamad berkata penyatuan antara Pas dan Umno akan lebih menguntungkan PH, berbanding dua parti Melayu dan Islam itu sendiri.

Ini kerana ramai dalam kalangan ahli PAS dan Umno di peringkat akar umbi yang dipercayai kecewa dengan kerjasama itu dan sedang beralih arah menyertai parti lain. – 12 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen