Umno, PAS yakin tawan 8 negeri selepas PRU15


Sheridan Mahavera Timothy Achariam

Kalau pakat elok-elok, kita boleh menang lapan kerusi, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 September, 2019.

GABUNGAN Umno dan PAS akan menawan Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah pada pilihan raya umum akan datang, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan.

Malah Mohamad yakin kesepakatan dan kekuatan pakatan baharu yang dijangka dapat menarik sokongan orang Melayu itu mampu menawan Johor pada PRU15.

Pada masa yang sama Umno-PAS akan terus memegang empat negeri yang sudah sedia dalam tangan mereka iaitu Perlis, Kelantan, Terengganu dan Pahang, katanya pada perhimpunan Penyatuan Ummah di Kuala Lumpur malam tadi.

“Kalau kita pakat elok-elok, Melaka kita boleh ambil, Negeri Sembilan kita boleh ambil, Perak kita boleh ambil, Kedah kita boleh menang. Kita kekal Perlis, kekal Kelantan, kekal Terengganu dan Pahang. Lapan negeri kita boleh menang. Itu mimpi ngeri mereka. Kalau kita tahu resipinya, Johor pun kita boleh ambil,” katanya pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi.

Pada PRU14, Pakatan Harapan (PH) menawan Melaka, Negeri Sembilan, Johor, Perak dan Kedah lantas mengakhiri pemerintahan Umno dan Barisan Nasional selama 62 tahun.

Pakatan baharu yang dibentuk oleh Umno dan PAS akan mewujudkan satu blok pembangkang untuk melawan kerajaan PH. Mereka menuduh PH mengetepikan kepentingan orang Islam dan Melayu.

Namun, pengkritik berkata sejarah panjang permusuhan antara kedua-dua parti Melayu terbesar di Malaysia itu akan menyukarkan mereka untuk saling bekerjasama kerana secara tradisinya bersaing untuk merebut undi orang Melayu-Islam.

Menurut pemerhati, pakatan baharu ini akan berdepan masalah dalam pembahagian kerusi pada pilihan raya umum.

Dalam isu ini, Mohamad berkata beliau yakin presiden kedua-dua parti, Ahmad Zahid Hamidi (Umno) dan Abdul Hadi Awang (PAS) akan menguruskan perkara ini dengan bijak.

Manakala pemimpin dalam PAS dan Umno serta ahli pula perlu fokus kepada bagaimana untuk mengukuhkan hubungan antara Umno dan PAS, katanya.

“Pasal kerusi pandailah dua president berpakat elok-elok bak kata orang tua-tua ‘muafakat punca selamat, sengketa punca celaka’. Jangan bersengketa.

“Jangan bagi bawah bawah bising pasal kerusi. Ini saya dah dengar dah ini, sekarang macam mana kerusi. Kerusi berapa, macam-macam. Jangan macam itu. Jangan cepat sangat cakap pasal kerusi, matlamat kita adalah untuk menang. Macam mana nak menang, kalau nak menang mesti berpakat,” kata Mohamad.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man turut senada dengan Mohamad dalam hal ini.

“Isu kerusi bukan isu untuk pas. pas dan umno boleh duduk dan bermuafakat. Bukan macam orang di luar sana kata apabila cakap pasal kerusi pas dan umno akan berpecah,” katanya.

Pada pilihan raya umum lalu, Umno menang 79 kerusi parlimen manakala PAS berjaya menang 19 kerusi. – 14 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen