Muhyiddin mahu pemimpin baharu jadi presiden Bersatu


Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan bertanding bagi mengekalkan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan berlangsung 2024. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2023.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mengumumkan tidak akan bertanding bagi mengekalkan jawatannya dalam pemilihan parti yang akan berlangsung tahun depan.

Beliau memberitahu perwakilan di Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hari ini, keputusan itu akan membolehkan pemimpin baharu untuk memimpin parti.

“Pada Jumaat yang mulia, saya umumkan sudah tiba masanya saya mewariskan parti.

“Saya ingin menyatakan bahawa saya tidak akan mempertahankan jawatan dalam pemilihan yang akan diadakan hujung tahun depan,” katanya.

Desas-desus mengenai keputusan Muhyiddin untuk berundur dari jawatan tersebut berlegar sejak September, sebelum beberapa ahli Parlimen Bersatu bertindak menyokong kerajaan.

Seterusnya pada 12 Oktober Ahli Parlimen Kuala Kangsar Dzulkarnain Abdul Khalid mengumumkan menyokong kerajaan perpaduan Pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Tiga lagi ahli Parlimen Bersatu menyusuli langkah itu – Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Tindakan itu memberi tamparan hebat kepada Bersatu, gabungan Perikatan Nasional dan juga Muhyiddin yang giat berkempen untuk menggulingkan kerajaan semula sejak PRU15. 

Muhyiddin yang juga pengasas Bersatu mendirikan parti itu bersama pengerusinya waktu itu, Dr Mahathir Mohamad.

Kedua-duanya terpelanting dari parti Umno selepas mengkritik presiden dan perdana menteri waktu itu, Najib Razak berkaitan skandal kewangan terbesar di dunia, 1MDB.

Kempen Muhyiddin dan Dr Mahathir seterusnya melalui Bersatu dan juga bersama PKR, DAP dan Amanah dalam gabungan Pakatan Harapan berjaya mengambil alih kerajaan pada 2018.

Kerajaan pimpinan Dr Mahathir sebagai perdana menteri ketujuh itu tidak kekal lama apabila Muhyiddin menggerakkan Langkah Sheraton bersama parti PAS dan Umno pada 2020.

Pada tahun berikutnya Umno menarik sokongan ke atas Muhyiddin yang menjadi perdana menteri kelapan waktu itu dan digantikan dengan Ismail Sabri Yaakob.

Siri panjang dalam drama politik melibatkan tindakan wakil rakyat mengalih sokongan itu membawa kepada pindaan perlembagaan bagi menghalang lompat parti.

Usaha yang digerakkan selepas Presiden PKR Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri ke-10 itu bagaimanapun tetap tidak menghalang ahli Parlimen pembangkang menyokong kerajaan. – 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen