RM700 juta untuk publisiti semasa pentadbiran Muhyiddin, Ismail Sabri, kata Anwar


Ravin Palanisamy

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata lebih RM500 juta dibelanjakan semasa Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri, dan selebihnya semasa kerajaan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 7 November, 2023.

KERAJAAN membelanjakan RM700 juta untuk kerja-kerja pengiklanan, promosi dan publisiti dari 2020 hingga 2022, Dewan Rakyat diberitahu.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata sebahagian besar daripada jumlah itu iaitu lebih RM500 juta dibelanjakan semasa Muhyiddin Yassin jadi perdana menteri, dan selebihnya semasa kerajaan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.

Beliau menyifatkan jumlah perbelanjaan tersebut keterlaluan.

“Sejak 2020 hingga 2022, RM700 juta untuk iklan, promosi dan publisiti. Ini bermakna lebih RM500 juta dibelanjakan semasa Pagoh (Muhyiddin) dan Bera (Ismail Sabri).

“Tapi Bera tidak belanja setinggi itu kerana ada lebihan, sebab itu untuk tahun 2023 saya tidak ada peruntukan selain meneruskan kontrak semasa Bera.

“RM700 juta lebih kurang diperuntukkan RM300 juta setahun itu bagi saya melanggar peraturan dan tatakelola serta keterlaluan,” katanya ketika menjawab soalan dikemukakan P Prabakaran (PH-Batu) semasa sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri hari ini.

Prabakaran meminta perdana menteri menjelaskan mengenai jumlah yang dibelanjakan untuk mempromosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan menerusi semua platform media massa dari 2020 hingga kini.

Anwar selanjutnya memaklumkan tiada peruntukan baharu bagi tujuan pada tahun ini bagi kerja-kerja promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan, sebaliknya hanya menggunakan lebihan yang diluluskan dan ditandatangani Ismail Sabri tahun lepas.

“Bagi tahun ini saya hanya ambil kontrak sedia ada dan meneruskan apa yang telah dipersetujui oleh Bera. Jadi tiada peruntukan baharu.”

Untuk 2024, Anwar yang juga menteri kewangan berkata beliau telah mengarahkan supaya kementeriannya hanya meluluskan peruntukan tidak lebih daripada RM100 juta bagi tujuan  promosi dan publisiti dalam menghebahkan pencapaian kerajaan perpaduan.

“Saya tidak fikir kerajaan harus dibebankan dengan iklan dan publisiti tambahan selain promosi daripada program kita turun ke bawah santuni rakyat dan dirakam melalui media masa termasuk media sosial,” katanya. – 7 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen