Bersatu adakan mesyuarat selepas 4 ahli Parlimen parti ikrar sokong kerajaan


Presiden Bersatu Muhyiddin Yasin berkata pimpinan tertinggi parti akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini selepas empat ahli Parlimennya berikrar menyokong kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2023.

PIMPINAN tertinggi Bersatu akan mengadakan mesyuarat tergempar hari ini selepas empat ahli Parlimennya berikrar menyokong kerajaan perpaduan, kata Muhyiddin Yasin.

Presiden Bersatu itu berkata apa yang dilakukan oleh empat ahli parlimen itu bercanggah dengan pendirian parti dan pelanggaran disiplin parti yang serius.

“Ia juga membelakangi mandat rakyat yang memilih mereka atas dasar keyakinan terhadap prinsip perjuangan Perikatan Nasional.

“Saya mendapat maklumat bahawa terdapat gerakan terancang daripada parti lawan untuk melemahkan Bersatu dan Perikatan Nasional dengan menggunakan sogokan dan ugutan terhadap ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan.

Empat ahli Parlimen yang menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Ahli Parlimen Zahari Kechik, Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khali, Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim.

Ahli Parlimen Pagoh itu mendakwa langkah itu dianjurkan oleh pesaingnya.

“Bersatu tidak akan tunduk terhadap pakatan jahat ini dan tindakan yang lebih tegas akan diambil.
Saya menyeru ahli-ahli Bersatu supaya kekal tenang dan istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan parti sementara kepimpinan tertinggi Bersatu menangani perkara ini” kata Muhyiddin.

Semalam Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik menjadi ahli Parlimen keempat Bersatu yang berikrar menyokong kerajaan perpaduan.

Mengulas daripada rakan sejawat yang melakukan langkah serupa Zahari berkata beliau mahu mengutamakan keperluan rakyat supaya kawasannya tidak ketinggalan dalam pembangunan.

“Saya sedar rakyat mesti diutamakan dan pembangunan mesti diteruskan tanpa sebarang kompromi.

“Dalam alaf yang serba mencabar ini selaku ahli parlimen saya harus memberi khidmat yang terbaik buat rakyat dalam Parlimen Jeli,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Zahari berkata sokongannya terhadap dasar kerajaan untuk memulihkan ekonomi akan diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Tiga ahli Parlimen Bersatu yang mengambil tindakan sama ialah Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid pada 12 Oktober diikuti Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober dan Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim pada Selasa lepas.

Sama seperti tiga wakil rakyat itu, Zahari turut mengumumkan beliau setia kepada Bersatu dan tidak akan meninggalkan parti.

Beliau juga berkata keputusannya dibuat “tanpa paksaan, pengaruh dan tekanan” tetapi secara sukarela demi kepentingan rakyat.

Zahari juga berkata beliau bersedia menghadapi sebarang tindakan tatatertib parti yang diambil terhadap Iskandar dan Suhaili.

Minggu lalu lembaga disiplin Bersatu menggantung Iskandar daripada parti itu selama empat tahun manakala Suhaili digantung enam tahun. – 9 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen