Bersatu rujuk ahli Parlimen Gua Musang, Jeli ke lembaga disiplin


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata lembaga disiplin parti itu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik susulan mereka menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2023.

DUA ahli Parlimen Bersatu yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim kepada dirujuk kepada lembaga disiplin parti itu.

Presidennya Muhyiddin Yassin berkata Lembaga Disiplin Bersatu akan bersidang dalam masa terdekat untuk menentukan hukuman terhadap Ahli Parlimen Gua Musang Mohd Azizi Abu Naim dan Ahli Parlimen Jeli Zahari Kechik.

“Dua kes pertama melibatkan Ahli Parlimen Kuala Kangsar (Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid ) dan Ahli Parlimen Labuan (Suhaili Abdul Rahman), masing-masing digantung keahlian empat dan enam tahun oleh Bersatu,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu di Kuala Lumpur malam tadi.

Terdahulu, Iskandar Dzulkarnain mengumumkan keputusannya untuk menyokong perdana menteri pada 12 Oktober lepas diikuti Suhaili Abdul Rahman pada 30 Oktober.

Seterusnya, perkara sama dilakukan oleh dua lagi ahli Parlimen iaitu Mohd Azizi yang menyatakan sokongan itu pada Selasa lepas dan Zahari mengisytiharkan sokongannya dua hari lalu. – Bernama, 10 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen