Kerajaan Persekutuan giat tangani isu bekalan air, elektrik Labuan, kata Mohd Zuki


Belanjawan 2024 Malaysia Madani menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2023.

ISU gangguan bekalan air dan elektrik yang berlarutan sejak sekian lama di pulau bebas cukai ini sedang giat ditangani, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.  

Beliau berkata kerajaan menyedari cabaran dihadapi rakyat Labuan dan turut mengakui menerima pelbagai rungutan berkaitan gangguan bekalan air dan elektrik.

Mohd Zuki bagaimanapun menekankan perbincangan sedang giat dijalankan untuk mencari penyelesaian menyeluruh.

” … dan penyelesaian (terutama mengenai gangguan bekalan air) dikenal pasti namun tindakan-tindakan itu perlu masa dan kami harap penduduk Labuan boleh bersama kami dan bersabar,” katanya yang dalam lawatan kerja sehari di Labuan.

Mohd Zuki Ali diberi taklimat disusuli perbincangan bersama Jabatan Air dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Stesen Janakuasa Palau-Patau bagi mencari penyelesaian terbaik melibatkan agensi kerajaan berkaitan di peringkat Persekutuan serta Sabah dan Labuan.

Mohd Zuki turut menekankan komitmen Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menangani masalah yang dihadapi Labuan itu termasuk peruntukan tambahan lebih RM300 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2024 Malaysia Madani khusus bagi menyelesaikan isu gangguan bekalan air.

“Apa yang penting ialah melaksanakan arahan itu dan menggunakan belanjawan yang diperuntukkan secara berkesan. Ada faktor yang menyumbang kepada gangguan bekalan air termasuk paip lama berusia lebih 30 tahun,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri akan ke Labuan untuk meneliti sendiri isu itu.

Mohd Zuki berkata penting bagi pelbagai pihak berkepentingan untuk mencari penyelesaian berkekalan terhadap isu bekalan air dan kuasa dihadapi Labuan.

Belanjawan 2024 Malaysia Madani menyediakan peruntukan sebanyak RM1.1 bilion bagi menyelesaikan isu bekalan air di Kelantan, Sabah dan Labuan. – Bernama, 17 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen