Betulkah tiada penduduk miskin di Pulau Pinang?


Faisal Tehrani

Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan Dr Syaharudin Shah Mohd Noor baru-baru ini berkata kadar kemiskinan tegar di negeri itu dijangka dapat diselesaikan sepenuhnya akhir bulan ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2024.

BARU-baru ini saya terbacakan sebuah laporan media yang mana Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang, dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Dr Syaharudin Shah Mohd Noor mendakwa terdapat 4,949 orang tergolong dalam kategori miskin tegar setakat 31 Januari lepas.

Dan kononnya setelah segala program mitigasi dijalankan, jumlah tersebut telah berkurangan ke 117 orang setakat 24 April lalu. Lebih memeranjatkan, beliau mendakwa perkembangan positif terus berlaku apabila ia menurun kepada 45 orang.

Kemudian Syaharudin membuat konklusi bahawa Pulau Pinang, berserta Perak dan Perlis dapat atau akan mencapai sifar miskin tegar menjelang akhir Mei ini. Ini beliau sebutkan dalam satu acara Wacana Sifar Miskin Tegar: Kitaran dan Dimensi anjuran ICU di George Town. Saya tidak tahu apakah hal ini munasabah untuk diyakini.

Jika kita terus mempercayai laporan dan data begini, kita akan perasan dan terperangkap dengan angan-angan sendiri yang sudah tidak ada orang miskin di negeri tertentu. Satu hal yang selalu kita lupakan adalah realiti kemiskinan ini adalah satu subjek yang boleh dimanipulasi, atau dipolitikkan. Pemain politik tertentu boleh mewarwarkan apa juga angan-angan yang kadar kemiskinan telah dibanteras. Dan kita semua tahu itu tidak benar.

Hari ini terdapat banyak ukuran dan kerangka yang digunakan untuk menentukan garis kemiskinan. Pelbagai parameter itu sebetulnya melihat bermacam perihal, yang selalunya adalah kemakmuran secara ekonomis, atau dalam erti kata lain moneter.

Saya ingin menghujahkan data atau dakwaan pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang di atas adalah satu kekononan. Ia adalah satu manipulasi politik entah untuk tujuan apa. Tapi ya, paling tidak untuk menunjukkan ada kerja telah dilakukan maka satu Petunjuk Prestasi Utama (KPI) telah tercapai.

Tidak ada kerangka munasabah dalam mendefinisikan kemiskinan, sehingga kita mengenal definisi yang diketengahkan oleh almarhum Profesor Sajogyo, seorang sosiologis dari Indonesia. Sajogyo adalah seorang ahli akademik besar dari negara jiran yang menumpukan kajiannya dalam sosiologi pedesaan (rural sociology).

Menurut Sajogyo penduduk miskin adalah mereka “yang serba kurang dalam memperoleh hak asasi” yang mana dalam hal ini hak asasi bermakna “entitlement”; “bekerja dan memperoleh imbalan layak” pun “kurang terjamin dalam memenuhi keperluan dasar manusia, lahir dan batin”.

Tanyailah mereka yang miskin, orang miskin selalu menggambarkan kemiskinan mereka berdasarkan kecukupan jumlah pemilikan tanah, kualiti rumah, jenis dan kualiti makanan diambil, dan tahap pendidikan.

Dua ciri paling penting dalam penentuan garis kemiskinan Sajogyo adalah nilai ambang kecukupan makanan, dan ukuran kecukupan kalori yang mana setiap ahli rumah itu berbeza berdasarkan usia, gender, berat, tinggi badan dan aktiviti yang dikerjakan. Selalu yang tertinggal adalah wanita atau anak-anak.

Kalau kita menggunakan kerangka yang dikemukakan oleh Profesor Sajogyo, yang mana jauh lebih munasabah berbanding kerangka dari luar (khusus Barat) yang amat terpusat pada moneter, kita akan menemukan tentunya, masih lagi ramai orang miskin di luar sana.

Satu hal yang paling nyata ialah, dalam macam-macam pelan, tidak ada pelan pembasmian kemiskinan yang akan berjaya tanpa melibatkan wanita. Di sini kita akan menemukan pula almarhumah Profesor Pudjiwati Sajogyo, isteri Sajogyo.

Menurut Profesor Pudjiwati, kenapa kita perlu menyertakan wanita dalam pembangunan, kerana, jika tidak menyertakan wanita ia akan memberi pengaruh negatif dalam pertumbuhan ekonomi memandangkan jumlah wanita itu selalunya besar, berbanding angka kaum lelaki.

Bahkan sekiranya sasaran pembangunan itu memang mensasarkan lelaki dan wanita maka sayugia penyertaan itu harus sama nilainya dalam proses pembangunan, yakni dengan melibatkan wanita.

Profesor Pudjawati seterusnya menekankan yang pembangunan desa (dalam hal ini kita juga melihatnya sebagai pembangunan si miskin) bukan mesti secara ekonomis saja tetapi mestilah mencakup ekologis, sosial kebudayaan, politis; yang akan membawa perubahan secara menyeluruh meliputi lelaki dan perempuan.

Jadinya, untuk menentukan pembangunan wanita semakin mengelok, almarhumah menekankan “keluarga batih” atau keluarga inti kerana keluarga itu menjamin hal-hal di mana; pertama, kita dapat menyatakan perasaan atau emosi, baik cinta, marah, sedih dan lain-lain menurut aturan adat; kedua, beroleh pedoman moral; dan terakhir; menerima ajar nilai, sikap, tatalaku proses sosialisasi.

Dalam erti kata lain individu dengan “keluarga batih” ini mampu melindungi dirinya dari penyelewengan budaya dan norma yang seharusnya diikutinya.

Itulah sebabnya Profesor Pudjawati sangat memerhatikan aspek kerumahtanggaan. Lebih mendesak ialah kerana pada wanita itu selalu ada dua jenis kegiatan bekerja iaitu home work (pekerjaan rumahtangga) dan pendapatan langsung atau income earning work. Apa yang menjadi fokus Profesor Pudjiwati adalah jumlah waktu dan mutu hari yang diperuntukkan untuk pekerjaan rumahtangga ini kadang terlalu besar sehingga mengganjalkan income earning work itu yang  sering membantutkan pertumbuhan sosio ekonomi dan pelbagai aspek lain yang sudah disebut, dalam sesebuah unit keluarga.

Lebih buruk, kerana jangkauan terhadap wanita yang kurang, peranan wanita dilihat kecil dan tidak menonjol lantas dikesampingkan dalam program atau pelan pembangunan. Malah selalunya wanita tidak disertakan dalam proses atau strategi pembangunan itu.

Kesedaran wanita dalam pembangunan menurut Profesor Pudjawati akan membantu pertumbuhan keluarga. Misalnya untuk membaik pembangunan pedesaan seharusnya membangunkan kefahaman, pendidikan dan kemampuan ekonomi seorang wanita dalam rumahtangga yang misalnya kelak akan mengutamakan aspek gizi, khasiat dan kecerdasan anak-anak.

Anak yang sihat dan cergas akan membawa kepada kerja pembangunan ekonomi yang efektif. Anak yang sihat dan cergas akan menjadikan mereka lebih bugar di sekolah, segar dalam mutu pembelajaran yang sekali gus dapat menukar nasib rumahtangga. Justeru kegiatan perladangan, perburuhan dan perikanan sesuatu rumahtangga akan mengalami inovasi ekoran kematangan generasi.

Sekarang, dengan akal waras kita persoalkan; betulkah penduduk di Pulau Pinang cukup makan, malah cukup kalorinya? Bolehkah jumlah 117 orang itu dipercayai akan menurun kepada 45 orang sahaja?

Siapa yang akan percaya dalam pertengahan tahun ini akan hanya ada 45 orang penduduk miskin di Pulau Pinang? – 8 Mei, 2024.

* Mohd Faizal Musa atau Faisal Tehrani bertugas sebagai felo di Institut Alam dan Tamadun Melayu (UKM), Felo Pelawat di ISEAS-Yusuf Ishak dan Bersekutu untuk sebuah projek di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard. Faisal menulis mengenai pelbagai perkara yang menjadi minat beliau.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen