Polis tekod keterangan 3 individu kes pasangan jatuh jambatan P Pinang


Seorang lelaki bertindak pantas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan seorang lelaki dan wanita yang terjatuh dari Jambatan Pulau Pinang pada Isnin. – Gambar Facebook, 17 Januari, 2024.

POLIS telah merekodkan keterangan daripada tiga individu bagi membantu siasatan berhubung insiden lelaki dan wanita terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang di George Town pada Isnin.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata polis telah merekodkan keterangan daripada wanita yang terjatuh ke dalam laut itu, anggota tentera menyelamatkan kedua-dua mangsa dan doktor merawat mereka.

“Setakat ini polis masih belum merekodkan keterangan pegawai kanan polis itu dan dia yang berpangkat Inspektor masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) kerana kecederaan di kepala serta tidak dapat bergerak.

“Selain itu, lelaki berusia 37 tahun tersebut turut mengalami kecederaan patah bahu sebelah kiri selepas turut terjatuh ke dalam laut dari Jambatan Pulau Pinang dalam kejadian tersebut,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cubaan bunuh.

Semalam, wanita yang terjatuh ke dalam laut dalam kejadian di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang mendakwa ditolak rakan lelakinya ketika mereka sedang bertengkar di hentian jambatan itu dalam kejadian pada Isnin.

Menurut Khaw, berdasarkan keterangan awal wanita berusia 40 tahun mendakwa telah ditolak rakannya yang juga pegawai kanan polis tetapi bukan bertugas di negeri itu.

Seorang lelaki bertindak pantas terjun ke dalam laut untuk menyelamatkan seorang lelaki dan wanita yang terjatuh ke dalam laut.

Media melaporkan sebelum terjatuh ke dalam laut, mereka yang menaiki Honda City dipercayai telah bergaduh di kawasan hentian tersebut. – Bernama, 17 Januari, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen