Bayar kepada Malaysia penalti Goldman Sachs, Johari beritahu AS


Pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB Johari Ghani menggesa pihak berkuasa Amerika Syarikat serah kepada Malaysia sebahagian daripada denda dan penalti AS$2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs berhubung peranannya dalam 1MDB.– Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mei, 2024.

MALAYSIA meminta kerajaan Amerika Syarikat menyerahkan sebahagian daripada denda dan penalti AS$2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs berhubung peranannya dalam 1MDB, lapor Free Malaysia Today.

Portal berita itu memetik Johari Ghani, yang merupakan pengerusi Pasukan Petugas Khas Pemulihan Aset 1MDB, sebagai berkata Malaysia berhak menerima sedikit pampasan daripada jumlah yang dibayar oleh bank pelaburan yang berpangkalan di New York itu kepada pihak berkuasa AS.

“Kami menghargai usaha kerajaan AS dalam pemulihan dan penghantaran pulang dana 1MDB, tetapi (jumlahnya) jauh kurang daripada AS$4.5 bilion yang dicuri daripada rakyat Malaysia.

“Bagaimanapun, (Malaysia) berada dalam keadaan yang tidak menguntungkan, berbanding Goldman Sachs,” kata Johari, yang juga menteri perladangan dan komoditi.

Tambahnya Malaysia dibebani dengan hutang 1MDB manakala bank antarabangsa itu bebas menjalankan perniagaan seperti biasa sekarang.

“Malaysia akan mengambil masa bertahun-tahun, jika bukan berdekad, untuk menyelesaikan hutang 1MDB, yang akan menggunakan wang pembayar cukai,” katanya.

Goldman Sachs telah mengatur penjualan bon 1MDB bernilai AS$6.5 bilion dan membenarkan AS$4.5 bilion diambil, sambil memperoleh yuran sebanyak AS$600 juta.

Johari berkata jumlah penyelesaian yang dipersetujui antara Goldman Sachs dan pentadbiran Muhyiddin Yassin empat tahun lalu tidak mencukupi untuk menampung kerugian yang dibawa oleh “aktiviti penipuan yang dimungkinkan dengan bantuan oleh Goldman Sachs”.

“Jumlah penalti AS$2.9 bilion yang dibayar oleh Goldman Sachs kepada kerajaan AS lebih daripada penyelesaian tunai AS$2.5 bilion yang dibayar kepada kerajaan Malaysia, tidak termasuk jaminan pemulangan aset AS$1.4 bilion dikaitkan dengan bon 1MDB yang masih dipertikaikan,” kata Johari.

Beliau berkata Malaysia akan terus menuntut tunggakan AS$1.4 bilion yang terhutang daripada bank di bawah perjanjian penyelesaian.

Pada hari Isnin, Reuters melaporkan bahawa kes jenayah yang dibawa oleh kerajaan AS terhadap Goldman Sachs telah ditamatkan secara rasmi selepas bank itu membuat pembayaran penuh penalti AS$2.9 bilion. – 8 Mei, 2024.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen