Kerajaan tak boleh penuhi permintaan Najib turunkan dokumentari Netflix, kata peguam


Desmond Davidson

Pengarah Lawyers for Liberty, Zaid Malek berkata, Netflix adalah platform perkhidmatan penstriman internet terbesar dan tidak tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – Gambar Facebook, 13 Januari, 2024.

KERAJAAN tidak berhak untuk mengarahkan Netflix menurunkan kandungan dokumentari ‘Man on the Run’ dan Kementerian Komunikasi juga tidak boleh menurunkannya, demikian menurut kumpulan peguam, Lawyers for Liberty (LFL).

Pengarah LFL, Zaid Malek berkata, Netflix adalah platform perkhidmatan penstriman internet terbesar dan tidak tertakluk kepada Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kerajaan tidak berhak untuk mempertimbangkan atau membenarkan permohonan sedemikian oleh Najib kerana ini akan menyalahi undang-undang,” kata Zaid dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata tindakan menurunkan dokumentari itu juga akan menjadi sekatan dan juga akan bertentangan dengan hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan oleh Perkara 10 (1) Perlembagaan Persekutuan.

“Menurunkan dokumentari itu sama dengan sekatan, yang bertentangan dengan seksyen 3(3) yang menyatakan AKM tidak membenarkan sekatan internet.

“Pengecualian ini terang dan jelas.”

LFL mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam bahawa kerajaan akan mempertimbangkan permintaan Najib untuk menurunkannya.

Kenyataan perdana menteri itu mendapat kritikan pedas selepas Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyatakan bahawa “jika ada permintaan, kami (kerajaan) akan meneiltinya”.

“Adalah menyalahi undang-undang dan salah guna kuasa untuk kerajaan mencampuri pergeseran antara Najib dan Netflix,” kata Zaid sambil mengkritik respons perdana menteri terhadap permintaan itu.

Zaid berkata sekiranya Najib terkilan dengan kandungan dokumentari itu, yang didakwanya adalah bersifat “sub judice” dan memudaratkan perbicaraan beliau yang sedang berjalan, maka beliau mesti mendapatkan perintah daripada mahkamah.

“Beliau mesti mengarahkan peguamnya memfailkan permohonan yang diperlukan di mahkamah. – 13 Januari, 2024.

Berita penuh di sini.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen