Tabung kemanusiaan Palestin bagi perkhidmatan awam dilancar


Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali menggesa semua ketua setiausaha dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menggerakkan kutipan sumbangan kepada Palestin secara agresif. – Gambar Facebook, 24 Oktober, 2023.

TABUNG Kemanusiaan Palestin bagi Perkhidmatan Awam dilancarkan hari ini sebagai inisiatif keprihatinan dan tanda solidariti serta semangat kemanusiaan dalam kalangan penjawat awam terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yang melancarkan tabung itu menggesa semua ketua setiausaha dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam menggerakkan kutipan sumbangan secara agresif di kementerian, jabatan dan agensi masing-masing dalam tempoh dua minggu bermula hari ini.

“Sekecil mana pun sumbangan anda amat bermakna buat saudara kita di sana,” katanya dalam hantaran di laman sosial Instagram miliknya serta memuat naik gambar melancarkan tabung berkenaan di pejabatnya.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi membantu mengurangkan penderitaan rakyat Palestin yang terkesan akibat konflik di Semenanjung Gaza, Palestin.

AAKRP ditubuhkan di bawah subseksyen 9 (1) Akta Tatacara Kewangan 1957 (Akta 61) pada 2002. Ia di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri dengan mandat untuk mengumpul, menyelaras dan menyalurkan sumbangan kemanusiaan daripada rakyat Malaysia kepada rakyat Palestin.

Pertempuran terkini di Palestin yang melibatkan Hamas iaitu pihak berkuasa di Gaza dan rejim Israel sejak 7 Oktober mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa kedua-dua belah pihak. – Bernama, 24 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen