60% pegawai dalam Dasar Pemisah berjaya dipulihkan


Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata dasar yang diperkenalkan sejak 2015 itu menunjukkan bahawa peranan pegawai psikologi memberi kesan signifikan.– Gambar Facebook, 26 September, 2023.

SEBANYAK 60% pegawai kerajaan yang dimasukkan ke Dasar Pemisah berjaya dipulihkan kembali dan kekal berada dalam perkhidmatan dengan prestasi dan motivasi yang lebih baik. 

Dasar Pemisah adalah dasar untuk menamatkan perkhidmatan dan membersarakan pegawai berprestasi rendah daripada perkhidmatan awam dengan nilaian prestasi tahunan kurang daripada 60% serta petunjuk prestasi utama (KPI) di bawah sasaran.

Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali berkata dasar yang diperkenalkan sejak 2015 itu menunjukkan bahawa peranan pegawai psikologi memberi kesan signifikan dalam membantu penjawat awam mengekalkan kebergunaan mereka serta berprestasi tinggi. 

“Perkhidmatan psikologi kini, merupakan teras utama dalam menguruskan sumber manusia kerana elemen kesejahteraan adalah penentu kepada kecemerlangan perkhidmatan,“ katanya ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Psikologi Perkhidmatan Awam Kali Ke-27 Tahun 2023, di Shah Alam hari ini.

Justeru katanya, bagi memastikan kesejahteraan psikologi merentasi sepanjang perkhidmatan, maka perkhidmatan psikologi perlu dilibatkan dalam urusan utama kementerian, jabatan dan agensi kerana kesemua pelanggan adalah manusia yang perlu disantuni dan difahami keperluan mereka.

“Hal ini juga adalah bertepatan dengan elemen ihsan dalam agenda MADANI yang ingin kita capai,” katanya. 

Pada majlis sama, Mohd Zuki turut melancarkan inisiatif Value Champion Officer (VCO) dengan melantik 15 pegawai daripada Kementerian, Jabatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan bagi melestarikan pembudayaan nilai murni dalam perkhidmatan awam melalui teladan terbaik di organisasi. 

Dalam kenyataan yang diedarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam memaklumkan, pelaksanaan VCO akan dilaksanakan sepenuhnya bermula tahun hadapan merupakan inisiatif yang selaras dengan Kerangka Strategik Malaysia MADANI dalam mengungguli standard prestasi, kualiti dan kelakuan beretika tinggi dalam kalangan penjawat awam. – Bernama, 26 September, 2023.


 



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen