Malaysia mampu capai sasaran di tangga 25 teratas indeks rasuah, kata KSN


Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali yakin kedudukan negara yang kini  berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022, dapat diperbaiki. – Gambar Facebook, 31 Oktober, 2023.

SASARAN Malaysia untuk menduduki tangga 25 teratas dunia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam tempoh 10 tahun adalah realistik dan boleh dicapai, kata Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata berdasarkan usaha-usaha yang dilaksanakan kerajaan ketika ini, beliau yakin kedudukan negara yang kini  berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022, dapat diperbaiki.

“CPI ini lebih kepada persepsi masyarakat luar yang berurusan dengan kita. Yang paling mustahak ialah kita membuktikan bahawa kerajaan bersungguh-sungguh memastikan bahawa CPI dapat kita turunkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Bulan Integriti Nasional 2023 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Zuki berkata semua penjawat awam harus berusaha dan bergerak sebagai satu pasukan untuk  memastikan bahawa isu-isu berkaitan tatakelola dan integriti dapat diperbaiki dari semasa ke semasa selari dengan hasrat Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan konsep Malaysia Madani.

Anwar ketika melancarkan ‘Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat’ pada Julai lepas berkata kerajaan menyasarkan kedudukan ke-25 teratas buat Malaysia dalam CPI bagi tempoh 10 tahun.

Menurut laporan Transparency International (TI), Malaysia berada di kedudukan ke-61 dalam CPI 2022 daripada keseluruhan 180 negara berbanding tangga ke-62 pada 2021. 

Terdahulu di dalam ucapannya, Mohd Zuki yang juga pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) menasihatkan penjawat awam supaya berfikir panjang dan penuh amanah ketika berdepan dengan situasi yang mencabar integriti seperti menerima sogokan atau rasuah.

“Sentiasalah beringat bahawa kalaupun tiada siapa nampak perbuatan kita, maka Allah SWT sentiasa Maha melihat. Sekiranya kita senang hasil daripada perbuatan yang salah…pada akhirnya akan memberi impak yang buruk kepada kehidupan kita,”katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sambutan Bulan Integriti Nasional adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam membudayakan integriti dan tatakelola bukan sahaja di sektor awam, malah turut merangkumi sektor korporat dan masyarakat keseluruhannya.

Tema sambutan Bulan Integriti Nasional pada tahun ini ialah ‘Integriti Citra Malaysia Madani’, sejajar dengan gagasan Malaysia Madani yang memperihalkan kerangka ikhtiar bagi mengembalikan martabat negara melalui teras pembangunan nilai etika dan akhlak masyarakat. – Bernama, 31 Oktober, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen