Peguam negara mesti jelaskan pengguguran ketua pendakwa kes Zahid, kata Pejuang


Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata Peguam Negara wajib memberikan penjelasan kerana rakyat memerhati dan menilai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Ogos, 2023.

PEGUAM Negara perlu menjelaskan keputusan pihaknya menggugurkan Raja Rozela Raja Toran daripada mengetuai pasukan pendakwaan kes terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi, kata Pejuang.

Ketua Penerangan Pejuang Rafique Rashid berkata pasukan pendakwaannya yang diketuainya terbukti berkesan apabila Ahmad Zahid dipanggil membela diri selepas mereka berjaya membuktikan kes terhadapnya di peringkat pendakwaan.

“Maka sekiranya begitu mengapa ketua pasukan pendakwaan digantikan?

“Peguam Negara tidak boleh berdiam diri berpeluk tubuh. Penjelasan wajib diberikan.

“Rakyat memerhati dan menilai,” katanya dalam satu kenyataan.

Awal hari ini, media yang memetik sumber melaporkan Raja Rozela tidak lagi mengendalikan perbicaraan 47 pertuduhan jenayah pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram yang terkait dengan dana Yayasan Akalbudi terhadap Ahmad Zahid.

Minggu lalu, kes itu yang sedang di peringkat pembelaan disambung di mahkamah tanpa kehadiran Raja Rozela.

Raja Rozela yang dihubungi oleh New Straits Times hari ini dilapor enggan mengulas.

“Saya penjawat awam, saya tidak dibenarkan memberi komen. Maaf, ya,” katanya.

Rafique yang juga seorang peguam berpendapat perkembangan terkini kes terhadap Ahmad Zahid ini “semakin diselubungi misteri dan menimbulkan tanda tanya.”

Ahmad Zahid yang sedang membela diri sebelum ini mengemukakan representasi kepada Pejabat Peguam Negara meminta kes terhadapnya diteliti semula untuk sama ada diteruskan pertuduhan atau digugurkan.

Mahkamah Rayuan juga sebelum ini membenarkan Ahmad Zahid mendapatkan semula pasport antarabangsanya biarpun kes masih berjalan.

“Pemulangan paspot antarabangsa Zahid Hamidi walaupun sedang menghadapi 47 pertuduhan sedangkan kes belum selesai berlainan dari kebiasaannya terhadap tertuduh-tertuduh lain juga menimbulkan rasa pelik pada pelbagai pihak,” kata Rafique.

Dalam pada itu, Rafique memperakui kuasa mutlak peguam negara untuk menentukan kedudukan pertuduhan jenayah, mengikut Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan.

Namun beliau mengingatkan, keberkesanan pasukan pendakwaan yang diketuai Raja Rozela sehingga Ahmad Zahid dipanggil membela diri juga tidak boleh dinafikan. – 8 Ogos, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen