Mahkamah Rayuan benar permohonan Zahid dapatkan pasport secara kekal


Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjaya memperoleh pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Mac, 2023.

TIMBALAN Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjaya memperoleh pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal bagi membolehkannya menjalankan tugas rasmi di luar negara.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hanipah Farikullah membenarkan permohonan Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah untuk mendapatkan pasport secara kekal selepas berpuas hati bahawa permohonan itu mempunyai merit.

“Mahkamah meneliti afidavit dan hujahan bertulis dikemukakan pemohon (Zahid). Perintah yang dipohon dibenarkan oleh mahkamah,” kata Hanipah yang bersidang bersama-sama Hakim Ahmad Zaidi Ibrahim dan Lim Chong Fong.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob memaklumkan kepada mahkamah pihaknya tidak membantah permohonan yang difailkan Zahid menerusi peguamnya Hisyam Teh Poh Teik.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memfailkan permohonan baharu di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 3 Februari lepas menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, yang kini Hakim Mahkamah Rayuan hanya membenarkan pelepasan sementara pasport itu bagi Zahid memohon pasport diplomatik dan seterusnya menyerahkan semula kedua-dua pasport itu kepada mahkamah, setelah segala urusan permohonan diplomatik selesai.

Pasport itu sebelum ini diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan tambahan selepas beliau didakwa atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram, melibatkan dana Yayasan Akalbudi, yang kini di peringkat pembelaan.

Berdasarkan notis usul yang difailkan pada 13 Februari lepas, Zahid, 70, memohon pelepasan pasport dipertimbangkan dan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan supaya pasport tersebut dapat dilepaskan secara penuh dan kekal, dengan apa-apa syarat sewajarnya yang dikenakan mahkamah itu.

Menerusi afidavit sokongan, Zahid berkata hakim Mahkamah Tinggi terkhilaf dan salah dalam menggunakan budi bicara ketika menolak permohonannya untuk mendapatkan dokumen itu secara kekal.

Beliau berkata keputusan itu bakal memprejudiskan hak dan tanggungjawabnya sebagai individu, yang berada dalam barisan kepimpinan negara kerana perlu memohon secara rasmi di mahkamah, setiap kali perlu ke luar negara atas urusan kerja.

“Sebagai seorang individu yang menjawat antara jawatan tertinggi dalam negara, ia dilihat tidak praktikal dan rumit untuk saya memohon ke mahkamah setiap kali ingin melakukan tugasan ke luar negara.

“Oleh itu, wajar bagi Mahkamah Rayuan mempertimbangkan kelulusan permohonan itu bakal memberi kebaikan dan kelangsungan terhadap pentadbiran negara, yang menjadi tanggungjawab setiap individu rakyat Malaysia,” katanya dalam afidavit sokongan.

Zahid menyatakan permohonan itu sama sekali tidak bersifat mala fide (niat jahat) atau prejudis terhadap mana-mana pihak, kerana beliau mengaku janji untuk tetap memberi kerjasama penuh dalam menyelesaikan kes (rasuah) sehingga ke peringkat akhir pembelaan.

Hisyam ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, anak guamnya berjaya mendapatkan semula pasport antarabangsa dan diplomatik secara kekal dan berikutan keputusan hari ini, Zahid hanya tertakluk kepada jaminan RM2 juta tanpa syarat tambahan lain. – Bernama, 27 Mac, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen