Skandal 1MDB, polis Jerman sita 4 kereta mewah Bugatti Veyrons


Polis Jerman sita empat kereta mewah yang jarang ditemui Bugatti Veyron di Munich, awal minggu ini dalam siasatan berhubung kes 1MDB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 April, 2024.

POLIS Jerman menyita empat kereta mewah yang jarang ditemui Bugatti Veyron di Munich, awal minggu ini dalam siasatan berhubung kes 1MDB, lapor media Jerman.

Empat kenderaan itu dikatakan dikategorikan dalam siri “Legends”, sangat eksklusif bagi kereta Bugatti, dengan hanya 18 kereta dikeluarkan menerusi siri itu.

Ia adalah model Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini.

Setiap kereta bernilai kira-kira RM14.3 juta.

“Kereta ini jarang sekali dijual dan biasanya tidak dijual di lelongan awam. Kereta ini disita oleh Jabatan Siasatan Jenayah 7, yang khusus membanteras jenayah kolar putih,” menurut laporan itu.

Ia melaporkan kereta terbabit diletakkan di tempat letak kenderaan Motorworld Munich, iaitu kawasan ruang acara automotif.

Laporan media menyatakan rampasan kereta itu ada kaitan dengan siatan berkaitan kes 1MDB.

Skandal 1MDB membabitkan pelbagai personaliti termasuk ahli politik dan pegawai bank hingga ke bintang Hollywood, menyebabkan siasatan jenayah dilancarkan di beberapa negara.

Bekas perdana menteri Najib Razak sedang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos, 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan tuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib turut berdepan beberapa tuduhan lain termasuk pengubahan wang haram bernilai RM27 juta membabitkan dana SRC International, iaitu bekas anak syarikat 1MDB.

Lembaga Pengampunan kemudian mengumumkan tempoh hukuman penjara Najib dikurangkan pada Februari lalu.

Sebelum ini, Najib, 70, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum atau titah tambahan Agong ke-16.

Titah Adendum tersebut menyatakan supaya Najib menjalani tempoh pemenjaraan selama enam tahun di rumah. – 28 April, 2024.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen