Pejuang tak letak calon di semua PRN, kata Mukhriz


Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata parti itu sebaliknya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16). – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Julai, 2023.

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) hari ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri bulan depan.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata parti itu sebaliknya akan menggunakan kesempatan yang ada untuk mempersiapkan diri bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Atas sebab kita setuju bahawa undi Melayu tidak sepatutnya dipecahkan dan pada waktu yang sama sejak bulan Januari, kita tidak mendapat respons yang positif daripada Perikatan Nasional (PN) atas hasrat kami untuk sertai gabungan itu maka Pejuang telah membuat keputusan tidak akan menyertai PRN.

“Keputusan ini tidak bermakna Pejuang tidak relevan ataupun takut menghadapi PRN sebaliknya ia kita anggap sebagai satu tindakan yang ada hikmah… berundur selangkah tidak bermaksud berundur seterusnya sebaliknya kita akan terus mara ke hadapan selepas ini,” katanya pada sidang media selepas program Taklimat Presiden 2023 parti itu di Kuala Lumpur hari ini.

Susulan keputusan itu, Mukhriz berkata Pejuang telah menyediakan beberapa kriteria untuk dijadikan panduan kepada ahlinya yang bakal mengundi pada 12 Ogos ini.

“Kita sediakan kriteria iaitu kita tidak menyokong mana-mana calon yang terlibat kleptokrasi, mana-mana calon yang ada masalah integriti serta mana-mana calon yang kita lihat tidak memberi perhatian terhadap isu-isu Melayu.

“Saya tidaklah sampai tahap nyatakan gabungan mana yang akan kita undi… maka siapa yang memenuhi kriteria yang disebut itulah yang kita sokong,” katanya.

Sebelum ini, bekas Menteri Besar Kedah itu berharap pimpinan PN dapat memberikan pertimbangan sewajarnya untuk Pejuang bekerjasama dengan gabungan tersebut pada PRN.

Mukhriz berkata ini kerana parti itu tidak mahu dilihat sebagai faktor yang memecah-belahkan undi Melayu dalam PRN kerana penyatuan undi Melayu adalah cara terbaik bagi Pejuang dan PN berdepan gabungan Pakatan Harapan serta Barisan Nasional. – Bernama, 22 Julai, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen