Tiada kaitan PM bukan Melayu dengan sekolah vernakular, kata ahli akademik


Alfian Z.M. Tahir

Ahli akademik menyanggah kenyataan Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir bahawa sekolah vernakular memecahbelahkan rakyat Malaysia dan mesti dihapuskan bagi membolehkan bukan Melayu jadi perdana menteri negara ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mac 2023.

KENYATAAN Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir semalam bahawa Malaysia boleh mempunyai perdana menteri bukan Melayu hanya apabila sekolah vernakular dimansuhkan tidak masuk akal, kata pakar pendidikan.

Ini kerana dua isu tersebut langsung tiada kaitan, tambah mereka.

Pakar ini juga menyanggah kenyataan Mukhriz bahawa sekolah vernakular adalah faktor yang memecahbelahkan rakyat Malaysia dan mesti dihapuskan bagi membolehkan bukan Melayu jadi perdana menteri negara ini.

“Kewujudan sekolah vernakular khususnya mewujudkan aliran pengajaran tersendiri yang boleh menyebabkan perpecahan di kalangan anak-anak kita.

“Pengasas negara kita tidak akan bersetuju untuk membiarkan sekolah vernakular zaman British terus beroperasi selepas Merdeka, kerana mereka tahu ia akan mewujudkan lebih banyak perpecahan antara rakyat,” kata Mukhriz dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Beliau membalas kenyataan veteran DAP Lim Kit Siang minggu lepas, yang berkata tidak menjangkakan untuk melihat bukan Melayu jadi perdana menteri di negara ini dalam hayatnya atau sepanjang hidup anak-anaknya.

Bercakap kepada The Malaysian Insight, ahli akademik Sharifah Munirah Alatas dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata kepelbagaian di sekolah vernakular sekarang ini jauh lebih baik daripada sekolah kebangsaan.

Ramai ibu bapa Melayu kini menghantar anak mereka ke sekolah vernakular kerana kualiti pendidikan yang lebih tinggi, katanya.

“Sekolah ini (vernakular) tidak pecah belahkan rakyat. Saya berharap lebih ramai lagi ahli sosiologi dapat tampil untuk memberi penjelasan kepada ahli-ahli politik tentang bagaimana masyarakat kita berfungsi,” ujarnya.

“Bagaimana hendak jelaskan bahawa perpecahan dalam kalangan orang Melayu kian meningkat? Perbezaan kelas ekonomi ketara dalam kalangan orang Melayu di sekolah kebangsaan juga ketara. Jadi, kalau mengikut logik ini adakah sekolah kebangsaan patut dimansuhkan juga?

“Memansuhkan sekolah vernakular dan perdana bukan Melayu adalah dua isu berbeza, langsung tiada kaitan yang munasabah,” tambah Sharifah Munirah.

Beliau selain itu berkata kenyataan Mukhriz jelas bertentangan dengan agenda pembinaan negara bangsa.

“Polarisasi di Malaysia hari ini berlaku kerana pemimpin menggunakan agama dan bangsa untuk memecahbelahkan rakyat. Parti-parti Melayu memainkan isu ini untuk bersaing sesama sendiri demi kepentingan politik mereka.

“Hal ini boleh dilihat dengan jelas oleh kami rakyat biasa, dan keadaan ini begitu membimbangkan,” jelasnya.

Menurut Munirah lagi, ahli-ahli politik sepatutnya bersama-sama mencari jalan bagaimana untuk meningkatkan kualiti guru, sekolah dan universiti.

“Kami tak mahu perkauman dan ketaksuban mendominasi dalam budaya dan masyarakat. Kami mahu semua ahli politik hentikannya.

“Apabila sekolah kebangsaan lebih berkualiti, kurang menumpu kepada subjek agama, serta mengitegrasikan lebih banyak mata pelajaran global seperti tamadun dunia, maka anak-anak kita akan belajar bagaimana untuk lebih menghargai kepelbagaian,” kata Munirah yang juga anak kepada ahli akademik terkenal Syed Hussein Alatas.

Mukhriz ‘lapar’ perhatian

Selain Sharifah Munirah, kenyataan Mukhriz itu turut dibidas Penasihat Yayasan Tamil K Arumugam, menyifatkan bekas ahli parlimen Jerlun itu merepek.

“Saya tak nampak di mana logiknya. Dari mana beliau dapat idea mengaitkan sekolah vernakular dengan PM (perdana menteri) bukan Melayu?

“Seseorang itu dipilih jadi PM kerana kebolehan dan ilmu, tidak kiralah dari sekolah mana pun. Ramai saja ahli politik kita berpendidikan Barat, ada yang dari Timur Tengah; jadi patutkah kita jangan hantar anak-anak kita belajar ke luar negara kerana mereka tidak akan faham bangsa sendiri jika belajar di sana? Kalau ikut kata Mukhriz begitulah,” katanya.

Perkasa sekolah kebangsaan

Bagi Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Dr Mohamad Ali Hassan, sekolah vernakular bukan faktor kekurangan integrasi dan ketidakupayaan masyarakat untuk saling memahami antara satu sama lain.

Katanya, isu berkait sekolah vernakular tidak akan timbul akan timbul jika sistem pembelajaran dan guru-guru di sekolah kebangsaan lebih berkualiti.

“Sejak dulu sampai sekarang kita asyik bercakap tentang memperkasakan sekolah kebangsaan, tetapi kualitinya masih sama.

“Jika kualiti lebih tinggi maka semua orang akan hantar anak ke sekolah kebangsaan kerana ibu bapa sudah tentu mahukan yang terbaik untuk anak mereka,” kata beliau.

Sementara itu bekas menteri pendidikan Maszlee Malik pula menyifatkan kenyataan Mukhriz mengaitkan sekolah vernakular dengan perdana menteri bukan Melayu tidak masuk akal.

“Saya tak faham kenapa Mukhriz keluarkan kenyataan begitu, kena tanya dia,” katanya. – 7 Mac 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen