Dr Mahathir tinggalkan GTA


Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau akan terus memperjuangkan hak Melayu walaupun sudah tidak bersama GTA. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Mei, 2023.

DR Mahathir Mohamad mengesahkan beliau tidak lagi bersama Gerakan Tanah Air (GTA), sebuah gabungan berasaskan Melayu yang ditubuhkannya sebelum pilihan raya umum lalu untuk menyatukan orang Melayu.

Bagaimanapun, beliau berkata akan terus memperjuangkan hak Melayu di bawah gerakan Proklamasi Orang Melayu.

Astro Awani memetik bekas perdana menteri itu sebagai berkata beliau meninggalkan GTA selepas menyedari pakatan itu gagal menarik sokongan orang Melayu.

Beliau masih menjadi pengerusi Pejuang semasa membentuk GTA. Pada Februari lalu, beliau berhenti daripada Pejuang tetapi berkata akan kekal sebagai pengerusi GTA.

“(Jawatan Pengerusi GTA) yang itu (perkara) lama… (kini saya) tidak ada (sebarang jawatan), (matlamat penubuhan) GTA tidak jadi, (GTA) tidak membantu kita (untuk menang pilihan raya), kerana ia (berbentuk) parti.

“Kita dapati kalau (bergerak) sebagai parti, kita tidak boleh menang, kita sudah lawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), GTA dan (Parti) Pejuang (Tanah Air) kalah 125 kerusi (yang ditandingi selain hilang deposit).

“GTA (sebelum ini juga) kita tidak (dapat) register, (kita) belum register (sebagai sebuah parti yang sah), (oleh kerana) GTA not functioning dan tidak bergerak, (saya kini tidak bersama mereka),” kata Dr Mahathir.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis Hari Raya di Jitra malam tadi.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata beliau masih aktif dalam gerakan Proklamasi Orang Melayu tetapi tidak akan terlibat dengan mana-mana parti politik.

Beliau berkata gerakan itu akan dapat mendidik orang Melayu yang mereka kehilangan kuasa di negara ini. – 12 Mei, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen